Norhakim Hassan Akui Kesilapan - Mohd Azhari


KUALA TERENGGANU: Pemain sayap T-Team, Mohd Nor Hakim Hassan yang menimbulkan kontroversi tidak turun menjalani latihan bersama pasukan, mengakui kesilapannya itu.

Penolong ketua jurulatih T-Team, Mohd Azhari Salim, berkata pemain 26 tahun itu ada menghubunginya dan memohon maaf serta kesal dengan tindakannya menghilangkan diri sebelum ini.


Begitupun, katanya dia sudah meminta pemain itu (Mohd Nor Hakim) memohon maaf kepada pihak pengurusan dan menceritakan masalah sebenar yang dihadapinya.

"Mohd Nor Hakim tidak menghadapi sebarang masalah dengan pihak pengurusan, pegawai pasukan dan rakan sepasukan.

"Dia risau dengan keselamatan isterinya yang kini tinggal seorang diri di Kuala Lumpur dan sedang sarat mengandung dan hanya menunggu masa untuk melahirkan anak sulung mereka.

"Kesilapan Mohd Nor Hakim kini ialah tidak memaklumkan kepada pihak pengurusan, malah bertindak menghilangkan diri tanpa sebarang berita sedangkan dia sepatutnya berterus terang mengenai masalah yang dihadapinya itu," katanya, hari ini.

Sabtu lalu, pengurusan T-Team bakal mengambil tindakan tegas terhadap bekas pemain PKNS FC dan Terengganu itu yang menghilangkan diri selama 19 hari tanpa sebarang berita, selain gagal menjalani latihan.

Mohd Azhari berkata, Mohd Nor Hakim ada memaklumkan mahu turun menjalani latihan bersama The Titans dan akur dengan sebarang tindakan yang bakal dikenakan terhadapnya.

Namun, katanya, pemain itu perlu mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan terlebih dulu.

"Mohd Nor Hakim sepatutnya bersikap profesional dan terserah kepada pihak pengurusan untuk membuat sebarang keputusan terhadap pemain ini," katanya. - Berita Harian