Pemain Diharap Dapat Fokus 90 Minit Malam Ini!


Kuala Lumpur: Kelebihan beraksi di halaman sendiri tidak seharusnya menjadi alasan untuk Terengganu terlalu yakin mencari kemenangan ketika menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Liga Perdana, malam ini.

Jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim, mengharapkan pemain menampilkan persembahan terbaik memandangkan hanya kemenangan yang akan mengesahkan slot ke kancah Liga Super musim depan.


Menurut Irfan juga, skuad kendaliannya digesa memandang serius perlawanan yang ibarat penentu musim pasukan itu sambil tidak memperlekehkan kemampuan PDRM.

“Pemain-pemain tidak boleh gugup dalam situasi ini, sebaliknya bermain seperti biasa dan fokus sepanjang 90 minit perlawanan.

“Paling penting, kami perlu mengelak daripada membuat kesilapan mudah selepas melepaskan beberapa gol yang tidak sepatutnya seperti dalam perlawanan sebelum ini,” katanya.

Dengan hanya tiga mata memisahkan Sang Penyu daripada kembali ke saingan liga utama itu, Irfan berkata ketenangan amat diperlukan di sebalik keghairahan penyokong Terengganu ketika ini.

“Segelintir penyokong melemparkan kata-kata kesat kepada pasukan sendiri dalam aksi yang lalu. Jadi, saya harap, sokongan positif diberikan untuk menyemarakkan semangat Terengganu pada Selasa (hari ini)," katanya lagi.

Sementara itu, penyerang sensasi, Kipre Tchetche, mengalami kecederaan pergelangan kaki dan tidak menyertai sesi latihan pasukan itu, kelmarin.

Namun, Irfan berkata pemain kelahiran Ivory Coast itu dijangka tidak berdepan masalah untuk mengetuai jentera serangan bertemu PDRM. - Arena