Terengganu Perlukan Satu Lagi Kemenangan, Ini Pesanan Irfan Bakti Buat Pemain


Kuala Terengganu: Ketua Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berpuas hati dengan kemenangan tipis anak buahnya 2-1 ke atas MISC-Mifa dalam aksi Liga Perdana di Stadium Proton, Tanjung Malim, petang kelmarin.

Menurutnya, walaupun tidak memenangi perlawanan dengan jumlah jaringan besar, namun itu sudah cukup untuk memberikan tiga mata berharga untuk skuad Penyu.


Ujarnya lagi, kini fokus pasukannya terarah kepada mencari satu lagi kemenangan ke atas PDRM 26@29 September nanti untuk melayakkan diri secara automatik ke Liga Super musim depan.

"Saya minta sangat pemain saya beraksi sepenuh hati dalam perlawanan bertemu PDRM nanti. Kita memang perlukan tiga mata berharga itu kerana ia sudah melayakkan kita kembali ke saingan Liga Super musim depan.

"Tapi pada masa sama saya agak risau dengan kualiti pertahanan kami. Dalam perlawanan ini dan perlawanan bertemu Sarawak tempoh hari jelas pemain pertahanan kami agak longgar. Pemain lain bersusah-payah mencari gol, tetapi pertahanan dengan mudah melepaskan gol kepada pihak lawan.

"Jadi, ini antara perkara utama yang akan kami beri tumpuan penuh menjelang perlawanan bertemu PDRM dan perlawanan terakhir bertemu PKNP nanti," katanya.

Selepas 20 perlawanan, Terengganu kini berada di tangga ke-2 Liga Perdana berkongsi 44 mata dengan pendahulu Kuala Lumpur.

Kedua-dua pasukan hanya memerlukan satu kemenangan untuk mengesahkan tempat secara automatik di saingan Liga Super musim depan.