(VIDEO) Belasah PDRM, Terengganu Kembali Ke Liga Super 2018

Posted on Wednesday, September 27, 2017 | 9/27/2017



Kuala Terengganu:Terengganu kembali ke Liga Super musim depan selepas mengesahkan kedudukan antara dua pasukan teratas Liga Perdana dengan membelasah PDRM FA 3-0 di Kuala Terengganu, malam tadi.

Klik untuk play video dibawah ini
\

Rentak agresif ditunjukkan PDRM yang dihidangkan dua peluang seawal minit pertama dan minit keempat melalui Muhammad Yasir Hanapi, namun gagal menewaskan penjaga gol tuan rumah, Mohd Suffian Rahman.

Seterusnya giliran ketua pasukan, Safuwan Baharudin, menguji barisan pertahanan Terengganu pada minit kesembilan dengan melepaskan rembatan leret dari luar kotak penalti yang meliar.

Pemain lincah Terengganu, Mohd Faiz Nasir, meletakkan pasukannya satu gol di depan pada minit ke-18 selepas menolak masuk bola muntah hantaran Kipre Tchetche.

Terengganu hampir menggandakan jaringan pada minit ke-29, malangnya Issey Farran Nakajima tidak dapat menyudahkan dengan baik hantaran lintang Aid Aiziddin Ab Latif.

Permainan semakin rancak dengan Suffian menepis sepakan percuma Safuwan (m-31) sebelum Terengganu melancarkan serangan balas yang menyaksikan rembatan Tchetche tinggi melepasi pintu gol PDRM.

Tchetche akhirnya menceriakan kem Sang Penyu apabila bijak menanduk masuk sepakan penjuru Mohd Faiz pada minit ke-38 untuk gol kedua Terengganu.

Skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu terus bernafsu menyerang dan dua percubaan Issey (m-46) serta Gabriel Davis dos Santos (m-54) hampir memerangkap penjaga gol PDRM, Firman Zamri.

Pada minit ke-56, Terengganu melebarkan kedudukan kepada 3-0 selepas Issey mudah menolak masuk hantaran Faiz di dalam kotak penalti.

Tiga gol yang diperoleh memperlihatkan penguasaan Terengganu yang memiliki sekurang-kurangnya tiga peluang selepas itu menerusi Ferris Danial Mat Nasir, Tchetche dan Issey, namun gagal menambah jaringan dan kedudukan 3-0 kekal sehingga wisel penamat.

Sementara itu, turut mengesahkan slot ke Liga Super musim depan ialah Kuala Lumpur yang mengatasi Sabah 2-0, sekaligus berkongsi 47 mata dengan Terengganu dengan baki satu perlawanan. - Arena
Blog, Updated at: 9/27/2017