(VIDEO) Malaysia U-19 Langkah Kanan Di AFF U-18 Championship


MALAYSIA memulakan kempen Kejuaraan Bawah 18 tahun (B-18) Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) 2017 dengan langkah kanan menerusi kemenangan 4-1 ke atas Laos dalam aksi Kumpulan A, semalam.



Pada aksi di Stadium Aung San, Yangon, Myanmar, skuad kendalian Bojan Hodak membuka jaringan menerusi Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak pada minit ke-28 sebelum Muhammad Akhyar Abdul Rashid menggandakan jaringan pada minit ke-45.

Tiga minit selepas babak kedua bermula, Laos berjaya mengurangkan defisit menerusi Bounphachan Bounkong, namun Muhammad Akhyar dan Muhammad Hadi Fayyadh sekali lagi menunjukkan kehebatan apabila masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-60 dan ke-90 untuk mengesahkan tiga mata penuh.

Malaysia seterusnya akan bertemu Singapura pada Rabu, Timor Leste (Jumaat), Kemboja (Ahad), sebelum menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang Thailand pada 12 September.

Hanya dua pasukan teratas kumpulan akan mara ke pusingan separuh akhir yang akan berlangsung pada 15 Sept, manakala pusingan akhir dan perlawanan penentuan tempat ketiga dijadualkan pada 17 September. - Bernama