Kelab Penyokong Yakin Irfan Bakti Terus Kemudi Terengganu

Posted on Thursday, October 05, 2017 | 10/05/2017



Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (PETEH) menaruh kepercayaan kepada pengendali berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim, untuk terus mengemudi skuad Terengganu bagi musim 2018.

Harapan itu disuarakan Setiausaha PETEH, Wan Mohd Azmi Wan Ngah, berhubung teka-teki masa depan Irfan selepas berjaya membawa Sang Penyu kembali ke kancah Liga Super.


Menurutnya, kelab penyokong itu ingin melihat tindakan segera Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dalam mengekalkan barisan kejurulatihan sedia ada.

“Selepas membuktikan keupayaan musim ini, kami yakin di bawah kendalian Irfan, Terengganu boleh menjadi pasukan pencabar dalam Liga Super.

“Begitupun, barisan pemain perlu diperkemas dengan membawa masuk pemain berkualiti, termasuk pemain simpanan kerana rentak pasti berbeza musim depan,” kata Wan Mohd Azmi.

Irfan, 66, minggu lalu mengesahkan belum membuat keputusan sama ada akan kekal membimbing Terengganu atau tidak, dengan kontraknya akan tamat 30 November ini.

Selain itu, tumpuan kem Terengganu kini juga terarah kepada perlawanan terakhir Liga Perdana bertemu Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), hujung bulan ini.

Sambil mengharapkan pendahulu, Kuala Lumpur keciciran mata di Pasir Gudang, hanya kemenangan akan membolehkan Terengganu menjulang trofi Liga Perdana 2017. - Arena
Blog, Updated at: 10/05/2017
Loading...