Masih Ada 90 Minit, Berjuanglah Sehingga Tiupan Wisel Terakhir


KUALA TERENGGANU: Skuad Piala Presiden Terengganu langsung tidak tertekan sebaliknya yakin mereka mampu bangkit dengan strategi lebih ampuh untuk menumbangkan Selangor dalam aksi akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat ini.

Skuad bimbingan Mustaffa Kamal Abdul Wahab itu juga sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi lawan yang sudah pastinya mengamalkan taktikal bertahan, selepas menang 2-0 dalam aksi pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Pengurus pasukan, Jasmira Othman menegaskan, biarpun ketinggalan dengan dua jaringan ketika aksi akhir pertama pada 13 Oktober lalu, tetapi kali ini pemainnya bakal hadir dengan strategi lebih berkesan.

"Lebih meyakinkan kami, pemain tidak menampakkan riak wajah tertekan ketika sesi latihan sebaliknya mereka dilihat begitu bersemangat untuk beraksi bertemu The Red Giants itu bagi memburu trofi.

"Kita sudah membuat analisis selepas aksi pertama, daripada segi kelemahan dan kekuatan untuk menghadapi aksi kedua di Kuala Terengganu, begitu juga dengan taktikal yang digunakan lawan.

"Jadi, dengan masa yang berbaki 90 minit lagi, pemain bertekad untuk menggunakan peluang itu sebaik mungkin, apatah lagi beraksi di depan penyokong sendiri," kata Jasmira.

Kali terakhir skuad Peteh muncul juara piala berkenaan ialah pada tahun 2006, dan selepas 11 tahun berlalu, skuad itu mahu mengulangi pencapaian sama selepas sekadar naib juara pada 2009.

Musim lalu, hasrat skuad 'adik' T-Team untuk muncul juara buat kali pertama berkecai selepas tewas kepada Kelantan dengan agregat 1-3.

Mengulas lanjut, Jasmira berkata, biarpun Selangor bakal membariskan enam pemain skuad Liga Super musim ini, tetapi pasukannya tidak gentar kerana turut membariskan dua pemain yang pernah beraksi bersama skuad utama Terengganu.

"Kita melihat aksi kedua-dua pasukan dalam perlawanan akhir pertama adalah seimbang walaupun lawan membariskan sebahagian besar pemain skuad Liga Super mereka.

"Kami yakin, jika pemain mengikut taktikal yang diterapkan jurulatih, kita mampu bangkit untuk meledak tiga jaringan," kata Jasmira yang mengambil alih tugas sebagai pengurus pasukan itu, musim ini. - Berita Harian