T-Team FC, Kekal Liga Super Atau Terjerumus Liga Perdana?

Posted on Wednesday, October 25, 2017 | 10/25/2017



KUALA TERENGGANU: Skuad T-Team belum lagi kritikal atau tenat sebaliknya berpeluang cerah untuk terus kekal dalam saingan Liga Super musim depan.

Ia reaksi penolong jurulatih T-Team, Azhari Salim yang masih yakin anak buahnya mampu menempatkan diri dalam kelompok 10 pasukan terbaik Liga Super musim ini biarpun dipotong tiga mata oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).


Beliau berkata, walaupun pasukannya kini masih dikategorikan belum selamat untuk kekal dalam saingan liga utama itu tetapi berdasarkan kedudukan mata terkini peluang skuad The Titans tetap terbuka luas.

"Pada saya pasukan T-Team lebih cerah untuk kekal dalam Liga Super musim depan kerana hanya memerlukan keputusan seri saja dalam aksi terakhir bertemu Sarawak.

"Selain itu berdasarkan prestasi semasa juga, pemain kini berada pada tahap terbaik seperti yang dipamerkan ketika sesi latihan dan perlawanan persahabatan biarpun berehat panjang," kata Azhari.

Pada aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Januari lalu, skuad yang terkenal dengan jolokan Tibang T-Team Tibang itu seri 1-1 dengan skuad Bumi Kenyalang itu.

Berdasarkan kedudukan terkini, The Titans berada di tangga kesembilan liga dengan mengutip 22 mata manakala Sarawak di tangga ke-10 dengan 20 mata.

T-Team juga memiliki kelebihan jaringan berbanding Sarawak dan Kelantan yang kini menghuni tangga ke-11. - Berita Harian
Blog, Updated at: 10/25/2017
Loading...