Terengganu Sudah Pohon Lesen Kelab Dari FAM


KUALA TERENGGANU: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengesahkan sudah menghantar permohonan mendapatkan lesen kelab daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mengharungi saingan Liga Super musim depan.

Timbalan Presiden 1 PBSNT, Datuk Wan Nawawi Ismail, berkata pihaknya kini hanya menunggu keputusan sama ada permohonan diterima atau sebaliknya.

Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu berkata, setakat ini pihaknya belum menerima maklum balas daripada badan induk bola sepak negara itu.

"PBSNT sudah memohon lesen kelab daripada FAM sebelum ini mengikut apa yang dikehendaki dan setakat ini kami belum menerima sebarang keputusan sama ada layak atau tidak.

"Kami (PBSNT) akan memberi kerjasama bagi mendapatkan lesen kelab untuk membolehkan Terengganu layak bermain dalam Liga Super musim depan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini, BH Sukan melaporkan pasukan Kuala Lumpur (KL) dan Terengganu perlu mendapatkan lesen kelab daripada FAM terlebih dulu sebelum boleh beraksi dalam Liga Super musim depan.

Kuala Lumpur dan Terengganu mengesahkan tempat untuk bersaing dalam Liga Super musim depan selepas mengungguli dua tangga teratas Liga Perdana dengan saingan berbaki satu perlawanan musim ini.

Ditanya peluang Terengganu muncul juara Liga Perdana musim ini, Wan Nawawi berkata, pihaknya akan melakukan yang terbaik dengan mencari kemenangan ke atas Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dalam aksi terakhir di Ipoh, Perak pada 27 Oktober nanti.

Katanya, sekalipun skuad Penyu sudah melepasi sasaran kembali ke Liga Super, namun misi seterusnya ialah perebutan takhta kejuaraan Liga Perdana musim ini.

"Fokus utama kami ialah mahu muncul juara Liga Perdana dan berharap tuah akan memihak kepada Terengganu musim ini," katanya. - Berita Harian