(VIDEO) Piala Presiden Terengganu Ke Final Singkirkan Juara Bertahan


Kota Bharu : Juara bertahan, Kelantan gagal mara ke perlawanan akhir kempen Piala Presiden musim ini setelah tewas menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Pada aksi separuh akhir kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi, Kelantan dan Terengganu terikat 2-2.

Pada pertemuan separuh akhir pertama di Gong Badak, Ahad lalu, kedua-kedua pasukan itu seri 1-1.

Klik untuk play video dibawah ini
\

Terengganu yang melakukan sepak mula permainan hampir di depan seawal minit kedua namun tampanan Mohd Shafiq Shahrizan Mazlan di kesan ofsaid.

Pelawat terus menguasai perlawanan dengan memperoleh sepakan bebas pada minit kelapan namun tendangan Mohd Haidhir Suhaini terus ke dakapan penjaga gol Kelantan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, enam minit kemudian.

Tuan rumah yang tertekan dengan asakan awal Terengganu bangkit melancarkan serangan namun hantaran Mohd Danial Ashraf Abdullah gagal disambar Nik Azli Nik Alias pada minit ke-17 disusuli tendangan bebas Mohd Azwan Aripin diselamatkan penjaga gol lawan, tiga minit selepas itu.

Peluang terbaik The President Warriors untuk memecahkan kebuntuan hadir pada minit ke-24 apabila penyerang bertubuh kecil, Wan Mohd Azam Mazlan berjaya melepasi kepungan tiga pemain lawan namun percubaannya digagalkan Mohd Shafawi Mohamad.

Aksi kembali rancak pada minit ke-27 apabila Mohd Haidhir mencipta gerakan menarik tetapi percubaan jarak jauhnya hanya sedikit melepasi palang.

Minit-minit akhir babak pertama, tuan rumah memperoleh sepakan percuma yang dilakukan Nik Akif Syahiran Nik Mat tetapi Mohd Danial gagal menyambar bola di dalam kotak penalti.

Bersambung babak seterusnya, skuad kendalian Mohd Hashim Mustapha meneruskan aksi cemerlang dengan menguasai permainan tetapi percubaan leret Mohd Imran gagal menghasilkan jaringan, pada minit ke-53.

Minit ke-62, tuan rumah hampir memecahkan kebuntuan tetapi rembatan Mohd Imran daripada sudut sukar dikeluarkan pertahanan pelawat di atas garisan gol.

Kerja keras Kelantan memburu gol bagaimanapun membuahkan hasil lima minit kemudian apabila Nik Azli menolak masuk setelah penjaga gawang Terengganu gagal menangkap kemas bola percubaan Mohd Imran.

Bagaimanapun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Mohd Haidhir menyamakan kedudukan buat Terengganu menerusi percubaan menarik, pada minit ke-72.

Pemain tengah itu menjadi duri dalam daging buat Kelantan apabila menjaringkan gol kedua peribadi menerusi sudut sukar, dua minit kemudian.

Kelantan yang tertekan dengan dua gol pantas bangkit mengikat kedudukan 2-2 menerusi sepakan bebas Mohd Danial Ashraf pada minit ke-87 namun itu tidak cukup buat pasukannya daripada tersingkir pada pertemuan malam ini. - Sinar Harian