"Irfan Bakti Senyum Lebar"


KUALA TERENGGANU: Nada dan raut wajah pengendali Terengganu FC I (TFC I), Irfan Bakti Abu Salim semakin ceria selepas melihat prestasi empat pemain importnya yang kian meningkat menjelang aksi pertama Liga super bertemu PKNS FC pada 3 Februari nanti.

Malah, bekas jurulatih kelab Persipura Jayapura itu turut gembira melihat barisan pemain tempatan yang bagaikan sudah menemui rentak masing-masing.

"Saya berpuas hati dengan persembahan empat pemain import berkenaan yang beraksi dengan baik sepanjang kejohanan empat penjuru Piala Menteri Besar Terengganu.

"Apa yang lebih membanggakan kami, kombinasi sesama mereka dan pemain tempatan juga sudah menunjukkan keserasian. Ini perkembangan positif sebelum bertemu PKNS FC," kata Irfan Bakti.

Musim ini, skuad yang diberi nafas baru selepas penjenamaan semula mengekalkan penyerang musim lalu dari Ivory Coast, Tchetche Kipre dan mengikat tiga muka baru iaitu pemain tengah kelahiran England, Lee Tuck, pemain Kemboja, Thierry Chantha Bin dan pertahanan dari Montenegro, Igor Zonjic.

Bagaimanapun, penyerang kelahiran Korea Selatan, Kim Hyun Woo yang beraksi cemerlang ketika aksi pramusim di Kemboja awal Januari lalu terpaksa dihantar pulang kerana mengalami kecederaan serius.

Mengulas lanjut, Irfan Bakti yang menyasarkan satu trofi kejuaraan musim ini tidak mahu mendabik dada sebaliknya tetap mengakui masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki.

"Bagi saya masih ada kelemahan ketara yang perlu diatasi segera. Selain itu pemain juga gagal memanfaatkan peluang sebaik mungkin untuk jaring gol dan ia dapat dilihat ketika kejohanan Piala Menteri Besar Terengganu," kata Irfan Bakti yang mengakui kejohanan itu bagus buat pasukannya dan Terengganu FC II sebagai persiapan menghadapi Liga M. - Berita Harian