"Pemain Terengganu FC Lambat Panas"


BIARPUN pemainnya dianggap ‘lambat panas’ tetapi kem Terengganu FC I (TFC I) tanpa berselindung menzahirkan rasa puas hati dengan prestasi skuad berkenaan yang disifatkan sebagai satu permulaan baik sebelum Liga Malaysia (Liga M) musim ini membuka tirainya Februari ini.

Penolong jurulatihnya, Mohamad Nik mengakui berpuas hati melihat perkembangan terkini pemainnya yang memperaga aksi lebih tersusun, berbanding ketika aksi persahabatan pertama bertemu Terengganu FC II sebelum ini.

“Peningkatan ini bukan hanya dipamerkan pemain tempatan, tetapi juga pemain import yang sudah mula mempamerkan aksi meyakinkan dalam aksi kedua pramusim bertemu kelab dari Kemboja, Svay Rieng FC yang berkesudahan kita menang, 1-0 dan tewas 6-3 di tangan Army FC.

“Perkembangan positif ini perlu dipertingkatkan dalam perlawanan ketiga aksi pramusim menjelang saingan Liga M,” kata Mohamad menerusi aplikasi WhatsApp.

Kem TFC I diketuai Irfan Bakti Abu Salim kini berada di Kemboja dalam siri aksi persahabatan pramusim berdepan tiga pasukan di negara berkenaan, kelab Svay Rieng FC, Army FC dan Phnom Penh Crown FC.

Sebelum ini, dalam aksi persahabatan bertemu TFC II, Mohamad yang lebih mesra dipanggil `Coach Nik’ mengakui kecewa dengan aksi hambar awang importnya yang gagal mempamerkan aksi bertenaga selain ketandusan idea.

Beliau juga kurang berpuas hati dengan majoriti barisan pemain tempatan yang dilihat belum mempamerkan aksi di tahap sebenar, walaupun mempunyai pengalaman luas beraksi dalam Liga M.

Musim ini, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengikat lima pemain import iaitu Igor Zonjic (Montenegro), Kim Hyeon Woo (Korea Selatan), Lee Tuck (England), Thierry Cantha Bin (Kemboja) dan pemain Ivory Coast, Tchetche Kipre dalam misi untuk menempatkan diri dalam kelompok tiga pasukan terbaik Liga Super - Harian Metro