Terengganu FC II Perlu Atasi Melaka United


KUALA NERUS: Terengganu FC II (TFCII) wajib menang ke atas Melaka United (MU) jika mahu beraksi dalam perlawanan akhir kejohanan empat penjuru merebut Piala Menteri Besar Terengganu, malam ini.

Sekiranya menang, TFC II bakal membuat perhitungan sekali lagi dengan pasukan 'abang', TFC I yang sedang menanti di pentas final selepas membelasah MU 5-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin.

Pengendali TFC II, Mustaffa Kamal Abd Wahab, berkata pasukannya masih memiliki peluang bermain di final dengan syarat perlu menewaskan MU dalam perlawanan terakhir malam ini.

Beliau akan mempertaruhkan skuad utama selepas hanya menurunkan pemain muda tempatan ketika tewas tipis 1-2 berdepan Pahang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam kelmarin.

"Saya mahu memberi peluang kepada pemain muda bermain dalam perlawanan pada tahap tertinggi dengan pasukan dari Liga Super, Pahang.

"Bagaimanapun, saya dapat lihat ada pemain muda masih memerlukan masa untuk beraksi dalam Liga Super," katanya yang ditemui selepas perlawanan.

Dalam perlawanan itu, Pahang mencatat kemenangan pertama daripada tiga perlawanan apabila menundukkan TFC II 2-1 hasil jaringan Mohamadou Sumareh pada minit ke-34 dan bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-40.

Gol tunggal TFC II yang akan bermain dalam Liga Perdana dihasilkan menerusi sepakan penalti penyerang import, Akanni Sunday Wasiu pada minit ke-78.

Mengulas lanjut perlawanan itu, Mustaffa Kamal mengakui pemain mudanya terutama di posisi tengah gagal berfungsi dan bersaing dengan pemain pengalaman skuad Tok Gajah.

"Selepas rehat, saya membawa masuk pemain senior, Muhammad Fakhrurazi Musa disusuli empat awang import dan rentak permainan pasukannya terus berubah," katanya. - Berita Hariab