Terengganu FC Ikat Pemain Korea Juga Ganti Kim Hyun Woo


SELEPAS gagal menggunakan khidmat pemain import dari Korea Selatan, Kim Hyun Wo, Terengganu FC I (TFC I) mengambil keputusan untuk mengikat seorang lagi pemain dari negara sama.

Khabar itu dimaklumkan ketua jurulatih TFC I, Irfan Bakti Abu Salim yang berkata, pemain baru itu akan tiba dalam masa terdekat sebelum aksi Liga Malaysia (Liga M) yang dijadualkan bermula awal Februari ini.

Irfan Bakti yang juga pengurus TFC I berkata, beliau perlu bertindak segera menggantikan Hyun Woo kerana sudah pasti pemain baru itu memerlukan sedikit masa untuk membentuk keserasian mantap bersama pemain lain.

“Pemain dari Korea Selatan itu dijangka tiba dalam masa sehari dua lagi dan kemungkinan pemain yang akan mengisi jentera serangan itu akan dapat beraksi dalam perlawanan persahabatan 26 Januari ini.

“Apa yang kami harapkan, kehadiran pemain itu akan dapat menajamkan lagi jentera serangan dalam misi memburu satu trofi musim ini,” kata pengendali berusia 67 tahun itu.

Sebelum ini, TFC I yang membuat persiapan awal bermula 4 Disember lalu, terpaksa melupakan khidmat Hyun Woo selepas pemain berusia 29 tahun itu mengalami kecederaan serius ketika aksi persahabatan pramusim bertemu Army FC di Kemboja awal bulan ini.

Bekas penyerang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) musim lalu itu terpaksa berehat sehingga enam bulan sekali gus memaksa PBSNT mencari pemain lain untuk menggantikan pemain berkenaan.

Ketika ditanya kenapa beliau memilih pemain dari Korea Selatan dan bukannya dari negara lain, Irfan Bakti berkata corak permainan pemain dari negara itu semakin serasi dengan Terengganu.

“Namun kami harap pemain baru itu nanti yang belum boleh didedahkan namanya akan cepat menyesuaikan diri bersama pemain lain sebagaimana yang dipamerkan Hyun Woo,” kata Irfan Bakti. - Harian Metro