Timba Ilmu, Jangan Anggap Pergi Makan Angin - PBSNT


PERSATUAN Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) menuntut pemain Terengganu FC I (TFC I) menimba seberapa banyak ilmu dalam siri aksi persahabatan pramusim di Kemboja yang dijadualkan bermula esok sehingga 9 Januari.

Timbalan Presiden 1 PBSNT, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail berkata, pemain harus memanfaatkan peluang itu sebaik mungkin dalam misi untuk meningkatkan prestasi pemain dan juga pasukan.

“Kami tidak mahu pemain anggap aksi di Kemboja itu sebagai ‘makan angin’ sebaliknya mereka harus menggunakan peluang itu secara maksimun untuk meningkatkan kualiti diri dan keserasian pasukan sebelum mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

“Selain itu aksi berkenaan juga boleh diklasifikasikan sebagai perlawanan pemanas badan dan pendedahan awal buat barisan kejurulatihan untuk menilai tahap permainan pemain sebelum bermulanya saingan sebenar Liga M pada awal bulan depan,” ujar Wan Nawawi.

Skuad Peteh Terengganu Peteh itu dijadualkan bertolak ke Kemboja pada pagi ini dan pada keesokan harinya pasukan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu akan ke Stadium Olimpik untuk bertemu kelab Svay Rieng FC yang beraksi dalam liga utama Kemboja.

Pada 8 Januari pula skuad TFC I bakal beraksi menentang kelab Army FC juga di Stadium Olimpik manakala pada 9 Januari pendatang baharu Liga Super itu akan berkunjung ke Stadium RSN bertemu kelab tersohor Kemboja iaitu Phnom Penh Crown FC yang juga bekas pasukan pemain import Terengganu, Thierry Chantha Bin selain pasukan itu pernah dibimbing Bojan Hodak yang kini jurulatih bawah 19 tahun negara.

Ketika ditanya kenapa PBSNT memilih Kemboja sebagai destinasi aksi pramusim itu, Wan Nawawi memaklum peningkatan mutu permainan pasukan dan kelab negara itu mendorong PBSNT untuk mengadakan aksi persahabatan dengan tiga kelab utama negara terbabit.

Selain itu, Wan Nawawi menyatakan faktor perbelanjaan berhemah juga antara sebab PBSNT memilih Kemboja sebagai destinasi aksi persahabatan itu di samping negara pemain import baharu TFC I iaitu Thierry Bin.

“Apa yang kami harapkan apabila pulang nanti, pemain akan lebih bersedia dan lebih banyak ilmu yang dapat dikutip serta mampu membentuk persefahaman dan keserasian yang lebih mantap dalam misi untuk mendakap sekurang-kurangnya satu trofi musim ini, ” kata Wan Nawawi. - Berita Harian