(VIDEO) Piala MB Terengganu, Adik Bahang Abang!


KUALA TERENGGANU: Pasukan 'adik', Terengganu FC II (TFC II) mengejutkan 'abang', TFC I 2-0 dalam kejohanan empat penjuru merebut Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam.

Selepas memulakan aksi dengan langkah kanan apabila menundukkan Pahang 4-2, Irfan Bakti Abu Salim merehatkan kesebelasan utama termasuk semua awang import bertemu TFC II.



Ia berbeza dengan skuad TFC II bimbingan Mustaffa Kamal Abd Wahab yang mempertaruhkan kesebelasan terbaik mereka dengan diperkuatkan empat awang import dalam perlawanan itu.

Seawal minit kedua permainan, TFC I hampir membuka jaringan selepas kesilapan pertahanan import TFC II, Andrew Jean Baptiste, namun rembatan Muhammad Fauzi Abd Kadar berjaya ditepis penjaga gol, Amierul Hakimi Awang.

Pada minit ke-11, TFC II pula hampir menjaringkan gol tetapi tiang gol menjadi penyelamat sepakan percuma Muhammad Fakhrurazi Musa tatkala penjaga gol, Muhammad Syazwan Yusoff sudah tertewas.

Azi Shahril Azmi terlepas peluang keemasan apabila tandukannya berjaya ditepis keluar Amierul Hakimi pada minit ke-14 dan kedua pasukan kekal tanpa jaringan di babak pertama.

Bersambung babak kedua, TFC II yang akan beraksi dalam saingan Liga Perdana musim ini memecah kebuntuan menerusi penyerang importnya, Akanni Sunday Wasiu pada minit ke-73.

Tersentak dengan jaringan itu, TFC I cuba bangkit menyamakan kedudukan namun sepakan percuma Mohd Faiz Mohd Nasir ditepis keluar penjaga gol gantian, Mohd Suhaimi Husin dua minit selepas itu.

TFC II memperoleh gol kedua menerusi sepakan percuma cantik yang disempurnakan pemain import, Bruno Junichi Suzuki apabila menewaskan Muhammad Syazwan pada minit ke-78. - Berita Harian