(VIDEO) Piala MB Terengganu, Terengganu FC Belasah Melaka United


KUALA TERENGGANU: Skuad Terengganu FC I (TFC I) yang beraksi bagaikan 'harimau luka' melepas geram dengan membelasah Melaka United (MU) 5-0 dalam aksi ketiga kejohanan empat penjuru Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

TFC I yang dimalukan skuad 'adik' Terengganu FC II (TFC II) 0-2 dalam aksi kedua malam semalam bermula garang apabila berjaya menghasilkan jaringan pertama pada minit kedua menerusi bekas pemain Kuantan FA, Mohd Shahrul Aizad Zukufli.



Pada minit ke-20 pemain import kelahiran Ivory Coast, Tchetche Kipre atau popular dipanggil 'Drogba Terengganu' hampir menambah jaringan kedua pasukannya tapi sepakan lemahnya ketika pintu gol sudah ternganga berjaya diselamatkan pertahanan MU.

Seminit kemudian Mohd Ashari Samsudin pula terlepas peluang keemasan pasukannya biarpun hanya berdepan dengan penjaga gol lawan, Zamir Selamat.

Usaha berterusan skuad Penyu akhirnya membuahkan hasil apabila pemain pertahanan, Igor Zonjic bijak menanduk masuk bola tendangan sudut pemain kelahiran England, Lee Tuck pada minit ke-24.

Lima minit berselang Kipre yang diberi peranan sebagai kapten meledak jaringan ketiga pasukannya melalui rembatan kencang dari luar kotak penalti hasil hantaran lintang Mohd Shahrul Aizad.

Seminit sebelum berakhir babak pertama, Tuck yang tidak dikawal bijak meloloskan diri daripada perangkap ofsaid untuk meledak jaringan keempat hasil hantaran Mohd Ashari dari tengah padang.

Bersambung babak kedua, skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim kian bernafsu apabila terus mengasak pintu gol pelawat untuk menambah jaringan menerusi rangkaian penyerangnya yang diketuai Kipre, Tuck dan Mohd Ashari.

Skuad MU kendalian Eduardo Almeida yang hanya sesekali menyerang tidak bernasib baik untuk mendapatkan gol dan

seminit sebelum tamat permainan, S Chanturu meledak jaringan sendiri sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya TFC I 5-0. - Berita Harian