(VIDEO) Terengganu FC Juara Piala Menteri Besar Terengganu


Terengganu FC (TFC) menjuarai Kejohanan Empat Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu dengan kemenangan 4-2 ke atas TFC II dalam final di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu terlebih dahulu menguji kubu pasukan adik menerusi sepakan percuma Lee Andrew Tuck pada minit keempat yang ditepis Mohd Sharmiza Yusoff.



Aksi melawan ditunjukkan TFC II lima minit kemudian dengan gerakan satu dua dimulakan Ahmad Takhiyuddun Roslan gagal disudahkan dengan baik Muhd Alif Fitri Jefri.

Penyerang baru TFC, Abdul Malik Mat Ariff, menjaringkan gol pembukaan pasukannya selepas menolak masuk hantaran leret Kipre Tchetche pada minit ke-16.

Tchetche, kapten TFC malam ini, menggandakan kedudukan 2-0 pada minit ke-35 hasil sepakan penalti selepas dia dijatuhkan Mohd Hassan Basri.

Aksi semakin rancak selepas rehat dengan Mohd Sharmiza cemerlang menyelamatkan pintu golnya daripada terus dibolosi pada minit ke-46 daripada percubaan Tuck dan Mohd Ashari Samsuddin.

TFC II turut memperkemaskan rentak dan hampir merapatkan kedudukan pada minit ke-57, namun sepakan jarak jauh Mohd Fakhrurazi Musa dinafikan Mohd Suffian Rahman.

Jaringan ketiga TFC hadir pada minit ke-64 menerusi pemain lincah, Mohd Faiz Nasir, yang menerima umpanan Tchetche sebelum Tchetche meledak gol kedua peribadi tiga minit kemudian.

Kubu mereka akhirnya bocor pada minit ke-72 selepas Bruno Junichi Suzuki melepaskan sepakan kencang dari dalam kotak penalti serta jaringan kedua daripada Akanni Sunday Wasiu (m-88).

Selaku juara, TFC membawa pulang trofi serta wang tunai RM50,000 manakala TFC II terpaksa berpuas hati dengan RM30,000. Trofi disampaikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman. - Arena