Beraksi Dibawah Kemampuan & Kelekaan Punca Terengganu FC II Tewas

Posted on Sunday, February 25, 2018 | 2/25/2018



KUALA TERENGGANU: Terengganu FC II (TFCII) perlu melakukan sesuatu selepas mengalami kekalahan ketiga musim ini dan terbaru diaibkan UiTM FC 2-3 di laman sendiri dalam saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam semalam.

Kekalahan itu yang kedua berturut-turut dialami pasukan bimbingan Mustaffa Kamal Abd Wahab selepas kecundang ditangan MISC-MIFA 0-1 pada 9 Februari lalu.

Mustaffa Kamal yang ditemui selepas perlawanan mengakui tekanan semakin dirasai kerana pasukannya hanya mengutip satu mata selepas mengharungi empat perlawanan musim ini.

Begitupun, beliau tetap positif dan belum berputus asa sebaliknya akan bekerja keras memperkemaskan pasukannya dalam usaha memburu kemenangan sulung musim ini.

"Selagi saya diberi tanggungjawab ini, saya akan berusaha perkemaskan pasukan dan melihat semula apa yang perlu dilakukan untuk menjadi yang lebih baik.

"Saya tidak nafikan tekanan memang ada, namun kami perlu bangkit kerana selepas ini mereka akan berdepan UKM FC di tempat lawan sebelum melayan FELDA United di laman sendiri," katanya.

Mustaffa Kamal berkata, dua aksi menentang UKM FC dan FELDA United akan menjadi penentu sejauh mana kemampuan sebenar pasukannya selepas mengumpul satu mata dalam empat perlawanan.

Mengulas mengenai perlawanan dengan UiTM FC, bekas pemain Terengganu itu mengakui anak buahnya beraksi di bawah kemampuan sebenar terutama pada babak pertama.

Katanya, bersambung babak kedua pasukannya lebih menguasai permainan, namun disebabkan kelekaan dan komunikasi yang baik sesama pemain membolehkan pelawat memperoleh gol ketiga dalam perlawanan itu.

"Kita tewas selepas melepaskan tiga gol mudah kepada lawan dan satu ketika kami berjaya bangkit menyamakan kedudukan 2-2, namun kerana kelekaan dibenteng pertahanan membuka peluang buat UiTM FC mencipta gol kemenangan," katanya. - Berita Harian
Blog, Updated at: 2/25/2018
Loading...