Irfan Bakti Optimis Persembahan Terengganu FC

Posted on Sunday, February 04, 2018 | 2/04/2018



Jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, tetap berpuas hati dengan satu mata diraih selepas seri 2-2 dengan PKNS FC dalam aksi pembukaan Liga Super di Kuala Terengganu, malam tadi.

Walaupun mengakui kecewa dengan ketumpulan penyudah ketika mendapat deretan peluang dalam babak pertama, Irfan berkata keputusan itu adalah adil buat kedua-dua pasukan.

“PKNS bukan calang-calang pasukan malah antara pencabar utama lima pasukan terbaik. Jadi, saya berpuas hati dengan persembahan pemain-pemain.

“Jentera tengah PKNS sangat mengancam dan kami melakukan kesilapan sendiri membolehkan lawan menjaringkan gol mudah,” ujarnya.

Penggempur TFC, Kipre Tchetche, turut akur terpaksa berkongsi mata meskipun beraksi cukup baik di hadapan penyokong sendiri.

Penyerang kelahiran Ivory Coast itu menyifatkan mereka hilang fokus dan berazam memperbaiki kesilapan menjelang aksi seterusnya.

“Saya tidak terlalu gembira kerana kami berpeluang memenangi perlawanan ini namun gagal menjaringkan lebih banyak gol,” jelas Tchetche, 30.

Dalam perlawanan malam tadi, tuan rumah bermula agresif dengan dua percubaan awal Lee Andrew Tuck serta rembatan Tchetche (m-11) dan Abdul Malik Mat Arif (m-16) yang tersasar.

Penjaga gol PKNS, Mohd Shahril Saari, terus bertungkus-lumus menafikan asakan Mohd Ashari Samsuddin pada minit ke-28 sebelum menyelamatkan sepakan Tchetche seminit kemudian.

TFC akhirnya memecahkan kebuntuan pada minit ke-36 menerusi sepakan penalti Tchetche selepas Abdul Malik dikasari pertahanan lawan.

Hanya tiga minit selepas itu PKNS menyamakan kedudukan 1-1 apabila hantaran Mohammad Qayyum Marjoni Sabil berjaya mengelirukan penjaga gol TFC, Mohd Suffian Rahman.

Bersambung babak kedua, skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal mengejutkan kem tuan rumah selepas Rafael Ramazotti De Quadros menyempurnakan serangan balas pada minit ke-68.

Tchetche – ketua pasukan TFC malam tadi – menyelamatkan maruah pasukannya dengan gol penyamaan pada minit ke-73 hasil rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti. - Arena
Blog, Updated at: 2/04/2018
Loading...