Malik Arif Tidak Tertekan

Posted on Tuesday, February 27, 2018 | 2/27/2018



KUALA TERENGGANU: Walaupun masih belum mencetak nama sebagai penjaring gol selepas empat perlawanan Liga Super, penyerang Terengganu FC (TFC), Abdul Malik Mat Ariff mengakui dia tidak tertekan.

Malik yang juga penjaring terbanyak kategori pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim lalu percaya rezekinya belum tiba untuk meledak jaringan meskipun memiliki deretan peluang bermula pada aksi pertama bertemu PKNS FC diikuti Kelantan, Selangor dan terbaharu bertemu Negeri Sembilan.

"Setiap pemain terutama penyerang sudah pasti memasang impian yang tinggi untuk menghasilkan jaringan dalam setiap perlawanan apatah lagi itu adalah tugasan pemain yang beraksi di posisi itu.

"Tapi ini mungkin bukan rezeki saya lagi untuk bergelar penjaring gol setakat ini dan saya yakin mampu memecah kebuntuan gol itu dalam perlawanan selepas ini kerana aksi liga masih panjang termasuk saingan Piala FA.

"Bagaimanapun saya tidak boleh duduk diam, sebaliknya saya perlu berusaha lebih keras lagi dalam sesi latihan dan juga pada setiap perlawanan kerana sedar penawar bagi seseorang penyerang adalah untuk menjaringkan gol," kata pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu.

Musim lalu pemain berusia 27 tahun itu berjaya mencatat nama sebagai pemenang kasut emas selepas meledak 18 jaringan iaitu 15 gol dalam aksi Liga Perdana manakala selebihnya dalam saingan Piala FA.

Setakat ini skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu berjaya mengumpul sembilan gol hasil empat jaringan kapten pasukan, Tchetche Kipre, dua gol pemain tengah Lee Tuck, manakala masing-masing satu gol menerusi Mohd Ashari Samsudin, Mohd Shahrul Aizad Zulkufli dan Lee Jun-hyeob.

Mengulas lanjut, Abdul Malik mengakui apa yang lebih penting kemenangan pasukan dalam setiap perlawanan dan bukan rekod jaringan peribadi yang ingin dicipta.

"Siapa yang berjaya ledak gol itu persoalan nombor dua, begitu juga jika saya dapat menghasilkan jaringan itu bonus buat saya.

"Tapi jika saya berjaya melakukan hantaran tepat dan membuka ruang buat rakan sepasukan untuk meledak gol itu sudah memadai kerana apa yang lebih penting pasukan perlu menang," kata Abdul Malik yang mengidam untuk muncul penjaring terbanyak musim ini.  - Berita Harian
Blog, Updated at: 2/27/2018
Loading...