“Nama Naik, Saya Tetap Fokus Bersama Terengganu FC II” - Bruno Suzuki


KUALA TERENGGANU: Biarpun namanya dikaitkan dengan pasukan 'abang', Bruno Junichi Suzuki tetap fokus untuk membantu Terengganu FC II (TFCII) yang membuka tirai menentang Sabah dalam saingan Liga Perdana di Stadium Likas, esok.

Bekas awang import Negeri Sembilan itu disebut-sebut sebagai calon terbaik bagi menggantikan pemain import TFC I kelahiran Korea Selatan, Kim Hyun Woo yang mengalami kecederaan lutut dan terpaksa berehat hingga enam bulan.

Pengendali Terengganu FC II (TFC II), Mustaffa Kamal Abd Wahab, berkata Suzuki masih bersama pasukannya untuk memperkuatkan jentera serangan bertemu skuad Sang Badak, esok.

Mustaffa berkata, Suzuki kini sedang fokus berdepan Sabah dan menyerahkan kedudukan pemain dari Jepun itu kepada pihak pengurusan sama ada kekal bersama TFC II atau diserap masuk ke pasukan 'abang'.

"Setakat ini, belum ada kata putus sama ada Suzuki akan menyertai TFC I dan pasukan saya kini memberi fokus sepenuhnya dalam aksi pembuka tirai dengan Sabah, esok.

"Misi utama kami sekurangnya mahu mencuri satu mata dibawa pulang ke Kuala Terengganu, tetapi dalam masa sama perlu berhati-hati dengan corak permainan lawan yang memiliki kelebihan beraksi di laman mereka," katanya.

Menurut Mustaffa, semua anak buahnya termasuk empat awang import berada dalam prestasi terbaik dan berharap kesebelasan utama yang diturunkan tidak menghampakan pasukan.

Katanya, dua tonggak pasukan iaitu Muhammad Shahrin Sapien dan penjaga gawang, Amierul Hakimi Awang yang cedera sebelum ini sudah pulih sepenuhnya dan bakal beraksi dalam perlawanan itu.

"Saya lega kerana Amierul dan Shahrin ialah tonggak utama pasukan. Jadi, saya harap apa yang direncanakan ketika latihan dapat diterjemahkan pemain dalam perlawanan nanti," katanya. - Berita Harian