Setakat Ini Saya Gembira - Irfan Bakti

Posted on Saturday, February 17, 2018 | 2/17/2018



KUALA TERENGGANU: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim gembira dengan karakter pemainnya yang disifatkan semakin 'masak' menyerap corak permainannya dalam misi merangkul sekurang-kurangnya satu trofi kejuaraan musim ini.

Malah Irfan Bakti juga mengakui kombinasi yang diperagakan anak buahnya kini kian serasi selepas mengharungi tiga perlawanan Liga Super setakat ini dengan catatan satu kemenangan dan dua kali seri.

"Saya gembira dengan aksi pemain yang mula mempamerkan aksi sebenar serta semangat juang yang tinggi dengan memperaga corak permainan sebagai satu pasukan sehingga berjaya melakar kemenangan besar ketika menundukkan Selangor sebelum ini.

"Karakter pemain juga harus dipuji dengan aksi yang meyakinkan tanpa mengenal erti penat lelah. Bagi saya ini sungguh menakjubkan dengan semua pemain berjaya melaksanakan tugas dengan berkesan.

"Corak permainan sebeginilah harus dikekalkan dalam aksi seterusnya bertemu Negeri Sembilan minggu depan bagi memastikan misi untuk meraih sekurang-kurangnya satu trofi kejuaraan musim ini mampu direalisasikan," kata Irfan Bakti.

Mengulas lanjut, jurulatih berusia 67 tahun itu tanpa berselindung mahukan anak buahnya mempertingkatkan lagi prestasi jika mahu bergelar juara kerana saingan Liga Malaysia masih panjang dan apa-apapun boleh berlaku.

"Apa yang penting pemain perlu sentiasa bersedia dan meningkatkan prestasi diri dan berpasukan kerana saingan liga baharu memasuki tiga perlawanan.

"Oleh itu semua pemain harus mempunyai iltizam ke arah itu dan bukannya merasa selesa dengan pencapaian semasa," katanya.

Dalam aksi bertemu skuad The Red Giants Sabtu lalu, anak buah Irfan Bakti mengotakan janjinya apabila berjaya menundukkan skuad kendalian P Maniam 4-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, dekat sini. - Berita Harian
Blog, Updated at: 2/17/2018