Terengganu FC Cari Taktikal Mujarab Jerat Selangor FA


KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) merencana strategi lebih mujarab untuk menjerat Selangor pada aksi ketiga Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Tiga jurulatih berpengalaman Irfan Bakti Abu Salim, Mohamad Nik dan Kamaruddin Annuar juga sudah melakukan analisis mendalam mengenai kekuatan dan kelemahan lawan selain Irfan sendiri pernah mengemudi Red Giants pada 2012.

"Walaupun Selangor sudah pasti menampilkan aksi bertenaga susulan kemenangan besar 4-1 menundukkan Melaka United Rabu lalu, tapi kami juga memiliki ramuan tersendiri untuk menundukkan lawan.

"Selepas pulang dari Kelantan, kami sudah merangka strategi lebih ampuh kerana kami sedar lawan bukannya calang-calang pasukan ditambah pula reputasi juara 33 kali Piala Malaysia itu cukup gah.

"Justeru kami akan turunkan kesebelasan terbaik seperti ketika bertemu Kelantan Selasa lalu dalam misi untuk mencatat kemenangan pertama," kata Mohamad.

Dalam dua aksi terdahulu, pendatang baharu Liga Super itu terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 dengan PKNS FC dan 1-1 dengan pasukan jiran Kelantan.

Mengulas lanjut, bekas penolong jurulatih FELDA United musim lalu itu turut mencabar penyerangnya supaya meledak seberapa banyak jaringan dan tidak hanya bergantung kepada penyerang import, Tchetche Kipre yang kini muncul penjaring tunggal pasukan dengan tiga gol.

"Saya percaya terhadap semua pemain, malah dalam dua aksi terdahulu aksi mereka tidak mengecewakan, cuma belum ada rezeki untuk mencatat kemenangan.

"Oleh itu pertemuan dengan Selangor, pemain perlu buktikan kemampuan masing-masing dan paling penting berusaha keras untuk menang selain mengelak daripada dimalukan di laman sendiri," ujar Mohamad. - Berita Harian