Terengganu FC II Tekad Buru Kemenangan Malam Ini


SELEPAS sekadar mengutip satu mata dalam dua perlawanan sebelum ini, pasukan Terengganu FC II (TFC II) bertekad untuk bangkit melakarkan kemenagan sulung ketika turun bertemu MISC-MIFA dalam aksi ketiga Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.

Justeru, kapten pasukannya, Mohd Hasbullah Awang menuntut rakan-rakan sepasukannya agar lebih, berwaspada dengan ancaman yang bakal diberikan pasukan lawan dan tidak sesekali mengambil mudah kemampuan skuad kendalian K  Devan.

Menurutnya, selain itu mereka juga perlu fokus sehingga ke wisel penamat dan tidak mengulangi kesilapan mudah sebagaimana mereka dikejutkan dengan keputusan seri 1-1 ketika melayan kunjungan Sarawak Jumaat lalu.

“Jadi ini adalah peluang terbaik untuk kami menebus kembali kekecewaan selepas diikat Sarawak dengan melepaskan peluang keemasan untuk mengutip mata penuh di gelanggang sendiri.

“Apa pun saya harap rakan sepasukan dapat melupakan episod kekalahan itu sebaliknya kekal fokus sepanjang perlawanan itu nanti memandangkan MISC-MIFA juga turun dengan matlamat yang sama untuk memburu kemenangan,” katanya.
 - Sinar Harian