(VIDEO) Terengganu FC II Gagal Manfaat Peluang Dihalaman Sendiri

Posted on Tuesday, February 06, 2018 | 2/06/2018



KUALA TERENGGANU: Hasrat Terengganu FC II (TFCII) mencatat kemenangan sulung hampa selepas diikat Sarawak 1-1 dalam saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.



Lebih mengecewakan, gol penyamaan Sarawak hadir pada lewat permainan menerusi Bobby Gonzales tatkala tuan rumah hanya menanti wisel ditiupkan.

Terdahulu, tuan rumah di depan menerusi jaringan penyerang import, Akanni Sunday Wasiu yang menolak masuk bola muntah penjaga gawang, Mohd Iqbal Suhaimi seawal minit pertama.

Pada minit keenam, Bruno Junichi Suzuki terlepas peluang keemasan menambah gol kedua tuan rumah apabila tolakannya diselamatkan ketua pasukan Sarawak, Mohd Hairol Mokhtar diatas garisan tatkala Mohd Iqbal sudah tertewas.

Tersentap jaringan awal tuan rumah, Sarawak cuba bangkit dengan mengatur gerakan mencari gol penyamaan, namun jentera serangan diketuai Mateo Roskam berjaya dikekang benteng pertahanan.

Peluang terbaik hadir menerusi rembatan leret Milos Raickovic, bagaimanapun ditepis keluar penjaga gol, Amierul Hakimi Awang pada minit ke-37.

Bersambung babak kedua, tuan rumah memiliki dua peluang terbaik menerusi kapten pasukan, Mohamad Hasbullah Awang dan Andrew Anderson Jean-Baptiste, namun gagal menghasilkan gol.

Jumaat lalu, anak buah Mustaffa Kamal Abd Wahab dibelasah 0-4 oleh Sabah dalam aksi pembuka tirai di Stadium Likas. - Berita Harian
Blog, Updated at: 2/06/2018