Dua Lagi Suspek Aniaya 'Pok Ya Cong Codei' Direman

Posted on Sunday, March 25, 2018 | 3/25/2018



KUALA TERENGGANU - Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung tindakan sekumpulan remaja memalukan seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) dikenali sebagai 'Pok Ya Cong Codei' dengan membuka seluarnya.

Remaja itu ditahan di tempat kerjanya di sebuah restoran makanan segera di bandar raya ini malam tadi.

Dia antara individu yang dipercayai bertanggungjawab melakukan perbuatan menabur debu pada kemaluan mangsa.


Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Noradila Abd Latif.

Manakala, semalam, rakannya yang juga diburu polis menyerah diri di Balai Polis Kuala Terengganu dan direman selama empat hari.

Suspek tersebut antara individu disyaki terlibat melakukan perbuatan cuba membakar punggung mangsa menggunakan mancis.

Sebelum ini, kedua-dua suspek diburu polis susulan penahanan dua remaja perempuan yang juga teman wanita mereka.

Empat suspek ini dipercayai individu yang bertanggungjawab melakukan penganiayaan kepada mangsa.

Mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perkataan atau isyarat yang dimaksudkan mengaibkan kehormatan seseorang dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan tindakan biadab sekumpulan remaja memalukan 'Pok Ya Cong Codei' dengan membuka seluarnya.

Tidak cukup dengan itu, kumpulan berkenaan turut menaburkan pasir pada kemaluan lelaki yang mengalami masalah lembam itu, selain tangannya turut diikat ke belakang.

Mangsa dikatakan dimalukan kumpulan berkenaan di kawasan Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, 4 pagi Ahad dan kejadian memalukan itu dikatakan dirakam sebelum video berdurasi tujuh saat menjadi tular di Facebook. - Sinar Harian
Blog, Updated at: 3/25/2018