Irfan Bakti Kecewa, Tekad Bangkit Baiki Kelonggaran


Jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, terpaksa menelan hakikat gagal mempertahankan rekod tanpa kalah selepas tumpas 0-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Liga Super di Kuala Terengganu, semalam.

Irfan juga mengakui kecewa dengan kegagalan memanfaatkan peluang terhidang yang menyaksikan TFC berputih mata di hadapan penyokong sendiri

“Berdepan JDT, mana-mana pasukan akan dihukum andai mensia-siakan peluang yang ada.

“Malah, saya sudah mengingatkan jangan ada ruang kosong sehingga membenarkan lawan bergerak bebas, namun tiada seorang pun yang mencabar situasi itu hingga menyebabkan kami dibolosi,” katanya.

Sambil menyifatkan mereka hilang fokus, bekas pengendali Felda United itu berharap kekalahan tersebut segera dilupakan dan mematangkan skuad bimbingannya dalam perlawanan akan datang.

“Kami bermain baik dan bermati-matian dari minit pertama sehingga wisel penamat.

“Saya lihat pemain-pemain tidak tertekan, namun ada antara mereka seolah-olah takut ketika mendapat bola,” tambah Irfan.

Kekalahan itu menyaksikan TFC turun ke tangga keempat dengan lapan mata daripada lima perlawanan manakala JDT di kedudukan teratas dengan memungut 12 mata. - Arena