Jangan Ambil Mudah - Irfan Bakti


PENGENDALI skuad Terengganu FC (TFC) Irfan Bakti Abu Salim mengingatkan anak buahnya agar tidak mengambil mudah keupayaan lawan  ketika bertemu PJ Rangers dalam aksi pusingan kedua Piala FA  di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), petang ini.

Menurutnya, pemain perlu meneruskan tumpuan sebenar dan mengekalkan displin terbaik mereka sebagaimana ditunjukkan selepas mengharungi empat perlawanan dalam aksi saingan Liga Super sebelum ini.

"Walaupun berdepan lawan daripada pasukan divisyen tiga yang beraksi dalam Liga FAM, jadi kita tidak boleh ambil mudah kerana mereka juga memiliki impian sama untuk mara ke pusingan seterusnya.

"Maka pemain perlu sentiasa fokus sepanjang 90 minit perlawanan dan tidak sesekali melakukan kesilapan mudah atau cepat merasa selesa sebaliknya memberikan aksi terbaik sehingga ke wisel penamat," katanya.

Mengulas lanjut, Ifran Bakti mengesahkan bakal menurunkan hampir keseluruhan pemain sama ketika mereka meraih kemenangan ke atas Negeri Sembilan, 2-1 Jumaat lalu selain mempertaruhkan Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris buat kali pertama  dalam aksi lebih kompetetif itu.

Katanya, bekas tonggak Harimau Muda itu akan digandingkan dengan Igor Zonjic untuk mengawal benteng pertahanan pasukan.

" Saya yakin dia (Amirzafran) sudah bersedia untuk diturunkan dan hanya menunggu masa untuk berada dalam kesebelasan utama.

"Bagaimanapun untuk pemain import saya masih mahu melihat prestasi mereka kerana dalam saingan Piala FA ini kita hanya boleh menurunkan empat pemain sahaja, jadi kita lihat nanti macam mana," katanya. - Sinar Harian