Lupakan Kekalahan Dengan JDT, Kita Perlu Bangkit! - Irfan Bakti


Kuala Terengganu: “Lupakan kekalahan kepada JDT (Johor Darul Ta’zim), sebaliknya pemain perlu bangkit bertemu Selangor dalam saingan Piala FA Jumaat ini,” kata pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim.

Jurulatih berpengalaman itu berkata, ia kerana saingan Piala FA adalah sasaran utamanya musim ini untuk memburu trofi selepas terkandas pada separuh akhir musim lalu kepada Kedah dengan agregat 0-4.

“Sasaran utama saya musim ini adalah untuk mara ke final Piala FA iaitu selangkah lebih baik berbanding musim lalu dan seterusnya muncul juara.

“Oleh sebab itu saya sudah maklumkan kepada pemain supaya memberi tumpuan bertemu Selangor Jumaat ini dan perlu bangkit memburu kemenangan dalam aksi pusingan ketiga itu kerana format pertandingan adalah kalah mati,” kata bekas pengendali FELDA United itu.

Berdasarkan rekod terkini dalam pertemuan Liga Super bulan lalu, skuad Peteh Terengganu Peteh berjaya menjinakkan Red Giants 4-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, dekat sini.

Pertemuan kali kedua Jumaat ini dalam saingan Piala FA juga di stadium sama dijangka menarik kerana kedua-dua pengendali pasukan itu sudah pasti dapat membaca corak permainan masing-masing.

Mengulas lanjut, walaupun Irfan sedar Selangor juga mengidam untuk layak ke suku akhir, tetapi beliau mengakui sudah merangka strategi lebih ampuh untuk memerangkap skuad itu.

“Kemenangan 4-1 dalam saingan liga tidak boleh dijadikan ukuran kerana saingan piala ini berbeza dan kejayaan itu sudah jadi sejarah buat TFC, tapi untuk berdepan dengan skuad P Maniam perlu ada taktikal lebih mujarab walaupun beraksi di laman sendiri,” kata Irfan.

Pada 2011, skuad Terengganu yang dibimbing Irfan berjaya melakar kejayaan muncul juara Piala FA selepas menumpaskan pasukan jiran, Kelantan 2-1. - Harian Metro