Pesanan Irfan Bakti Buat Pemain Untuk Pertemuan Dengan JDT


“Jangan hormat sangat pada Johor Darul Ta’zim (JDT)”. Itu pesan pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, kepada skuad bimbingannya menjelang aksi bertemu juara bertahan Liga Super itu di Kuala Terengganu, malam esok.

Enggan memikirkan kesebelasan yang bakal diturunkan rakan sejawatnya, Raul Longhi, Irfan sebaliknya
menuntut anak-anak buahnya mengekalkan karakter dan rentak kemenangan musim ini.

Jurulatih berpengalaman itu juga berkata gaya permainan mereka sudah diintai JDT sejak
beberapa perlawanan lalu, sekali gus membuktikan TFC semakin digeruni.

“Pemain-pemain juga tidak boleh takut kerana ia adalah 11 lawan 11.

“Mereka hanya perlu meneruskan prestasi semasa selain mengambil kesempatan daripada kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk mengutip tiga mata,” katanya.

Dalam pada itu, Irfan menyifatkan persaingan merebut tempat dalam pasukannya semakin sengit
dengan kesemua pemain menunjukkan komitmen untuk dipilih.

“Ini adalah persaingan sihat tetapi menyukarkan saya memilih senarai 18 pemain. Percaturan untuk
bertemu JDT ialah dengan memenangi bahagian tengah,” tambahnya. - Arena