(VIDEO) Terengganu FC Gagal Pertahan Rekod Tanpa Kalah


KUALA TERENGGANU: Rekod tanpa kalah skuad Terengganu FC (TFC) lebur selepas tumpas 0-1 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi kelima di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu malam tadi.



Permainan pantas disajikan kedua-dua pasukan dengan masing-masing memperoleh peluang dan beberapa percubaan terbaik dalam tempoh 45 minit babak pertama yang ternyata menggamatkan suasana di stadium yang dibanjiri lebih 12,000 penyokong hitam putih.

Malah beberapa aksi keras dipamerkan pemain kedua-dua pasukan turut menyaksikan  pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria terpaksa bekerja keras mengawal permainan terutama pada separuh masa pertama.

Terdahulu pada minit kelima, pelawat nyaris di depan menerusi tandukan Hariss Harun hasil sepakan percuma Nicolas Fernandez namun sedikit sipi di sebelah kanan pintu gol tuan rumah.

Tuan rumah juga berpeluang membuka 'akaun' pada minit ke-11 menerusi Lee Tuck tapi tendangan leret pemain itu gagal disambar penyerang skuad Peteh Terengganu Peteh.

Selepas itu deretan peluang demi peluang diperoleh rangkaian penyerang kedua-dua pasukan gagal diterjemahkan selain keputusan pengadil dilihat tidak konsisten.

Bagaimanapun pada minit ke-29, pelawat berjaya menggegarkan jaring tuan rumah yang dikawal penjaga gol berpengalaman, Mohd Suffian Rahman menerusi sepakan pemain pertahanan, Marcos Antonio dalam kotak penalti berpunca daripada sepakan percuma Nicolas Alberto.

Tersentak jaringan itu anak buah Irfan Bakti memperkemaskan asakan dan berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke- 44 menerusi Tchetche Kipre yang hanya berdepan dengan penjaga gol Farizal Marlias, namun bekas  penjaga gol kebangsaan itu terlebih dulu bersedia.

Bersambung babak kedua, tuan rumah yang berhajat mengekalkan rekod tanpa kalah terus melancarkan gerakan dan peluang terbaik dimiliki pemain sayap, Mohd Shahrul Aizad Zukufli pada minit ke-49 namun gagal menemui gawang. - BH