Ini Padang Kita! - Irfan Bakti

Posted on Thursday, April 26, 2018 | 4/26/2018



KUALA TERENGGANU: "Ini padang kita, jangan sesekali menjadi penonton bola dalam padang, sebaliknya bermainlah dengan lebih agresif," kata pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim.

Beliau berkata demikian sebagai peringatan kepada anak buahnya menjelang pertemuan dengan Kedah dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

Menurut Irfan, ketiadaan kapten Kipre Tchetche yang mengalami kecederaan paha tidak begitu menggusarkan kem kerana pemain pinjaman dari Terengganu FC II (TFC II), Akanni-Sunday Wasiu juga tidak kurang hebatnya.


Beliau berkata, gandingan Wasiu dan Bruno Suzuki yang pernah beraksi dengan TFC II akan menjadi taruhan skuadnya untuk merobek kubu skuad Helang Merah.

"Walaupun Wasiu hanya berlatih selama dua hari dengan kami sebelum bertemu Kedah, tapi kami yakin pemain dari Nigeria itu mampu menyesuaikan diri dengan rentak permainan kami.

"Suzuki yang sebelum ini bersama TFC II juga kini dilihat semakin serasi dengan TFC. Jadi ketiadaan Tchetche dalam perlawanan kali ini tidaklah begitu merungsingkan kami.

"Selain itu kehadiran beberapa pemain tempatan dari pasukan TFC II juga dilihat mampu mengimbangi dan menguatkan pasukan dalam misi meneruskan rentak kemenangan ke atas skuad itu.

"Bagaimanapun semua pemain termasuk jentera tengah harus bekerja dengan lebih kuat bagi mengawal tonggak utama Kedah, Liridon Krasniqi daripada bergerak bebas selain barisan depan tidak melepaskan peluang meledak jaringan," ujar Irfan yang menuntut penyokong membanjiri stadium malam esok. - Berita Harian
Blog, Updated at: 4/26/2018
Loading...