Sudah Tiba Masanya - Bruno Suzuki


KUALA TERENGGANU: Selepas dinaikkan pangkat menyarung jersi skuad 'abang' Terengganu FC (TFC), penyerang kelahiran Brazil, Bruno Suzuki mengakui tiba masa buatnya untuk mencipta jaringan pertama sesudah buntu meledak gol setakat ini.

Malah, pemain warga Jepun itu yang lebih mesra dengan panggilan Bruno turut mengakui dia kini semakin yakin untuk memikul tugas sebagai penyerang.

"Saya gembira kerana penampilan pertama bersama pasukan baharu, TFC berakhir dengan kemenangan bergaya menumpaskan Melaka United 3-0 Jumaat lalu.

"Walaupun saya tidak berjaya meledak gol dalam perlawanan pertama itu tapi saya gembira kerana dapat membantu kemenangan pasukan hasil dua umpanan sebelum rakan sepasukan menjaringkan gol.

"Dalam perlawanan itu saya mempunyai beberapa peluang untuk menghasilkan gol, tapi gagal menemui sasaran, saya tidak kisah kerana yang penting kami menang dan kini sudah tiba masa buat saya meledak jaringan.

"Pada masa sama saya juga gembira kerana kembali beraksi dengan bekas rakan sepasukan Lee Tuck ketika bersama dengan Negeri Sembilan yang saya sifatkan antara pemain tengah terbaik dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M)," kata pemain berusia 28 tahun itu.

Sebelum ini bekas pemain Terengganu FC II (TFC II) itu gagal menyerlah dan masih gagal mencetak nama sebagai penjaring gol walaupun musim lalu berjaya meledak 11 gol bersama Negeri Sembilan.

Suzuki yang pernah beraksi dengan Home United dalam Liga Singapura berharap dapat menamatkan kemarau jaringan apabila melayan kunjungan Kedah pada 27 April ini di laman sendiri.

"Penawar seorang penyerang adalah menghasilkan jaringan, justeru saya akan memperagakan aksi terbaik dalam perlawanan seterusnya," kata Suzuki. - Berita Harian