Tiga Nota Penting Irfan Bakti Buat Pemain Terengganu FC

Posted on Monday, April 30, 2018 | 4/30/2018



KUALA TERENGGANU: Tiga nota penting daripada ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim yang perlu dititikberatkan anak buahnya menjelang pertemuan dengan pasukan jiran, Pahang dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, pada Selasa ini.

Bekas pemain skuad kebangsaan era 70-an itu berkata, pertama pemain harus meningkatkan komunikasi sesama mereka bagi mengelak kesilapan mudah yang boleh mengundang padah jika tidak berhati-hati.

"Kedua, semua pemain harus berani mengawal bola dan melakukan percubaan tepat ke arah kubu lawan bagi memastikan hasrat untuk meledak seberapa banyak jaringan tercapai sekali gus mencatat kemenangan di laman sendiri.

"Ketiga, ketumpulan jentera serangan sebagaimana aksi ketika bertemu Kedah pada Jumaat lalu harus segera diatasi biarpun tanpa kelibat kapten, Kipre Tchetche yang mengalami kecederaan," kata pengendali yang pernah berkelana ke Indonesia melatih kelab Persipura Jayapura pada tahun 2007 sebelum kembali mewarnai Liga Malaysia setahun kemudian membimbing pasukan Perlis.

Ketika bertemu Kedah minggu lalu, barisan penyudah bagaikan patah sayap kerana gagal menjelmakan lebih jaringan sebelum seri 1-1 biarpun sering mengasak dan menguasai permainan hingga minit terakhir perlawanan.

Skuad TFC yang kini menghuni di tangga keempat carta liga dengan mengutip 12 mata hasil daripada tujuh perlawanan berpeluang menduduki tangga kedua liga jika berupaya menundukkan skuad Tok Gajah yang kini berada di kedudukan kedua dengan mengutip 14 mata.

Mengulas lanjut, Irfan Bakti tanpa berselindung mengharapkan gandingan penyerang baharu Akanni Sunday Wasiu dan Bruno Suzuki mampu menjadi senjata pemusnah dalam misi merobek kubu lawan selain bantuan daripada rakan sepasukan.

"Saya harap pemain mampu tingkatkan prestasi bertemu skuad Pahang nanti kerana mereka datang dengan kemenangan selepas menumpaskan Melaka United 2-0.

"Oleh itu kami harus berhati-hati apatah lagi barisan tengah skuad itu lebih kuat berbanding Kedah," kata Irfan. - Berita Harian
Blog, Updated at: 4/30/2018