Bakal Lepas Jawatan Presiden PBSNT?


KUALA TERENGGANU: Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT),  Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman belum membuat keputusan lagi sama ada beliau akan terus menerajui badan induk bola sepak negeri itu ataupun menyerahkan jawatan nombor satu itu kepada pengurusan baharu selepas berlaku peralihan kuasa  di negeri itu.

Setiausaha Agung PBSNT, Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil berkata, keputusan itu dijangka bakal diketahui selepas mesyuarat PBSNT yang akan diadakan minggu depan.

"Saya belum boleh mengesahkan sama ada beliau (Ahmad Razif) akan terus memimpin PBSNT ataupun menyerahkan jawatan itu kepada pihak pengurusan yang baharu.

"Namun saya jangka keputusan sebenar akan dapat diketahui dalam mesyuarat persatuan itu yang bakal diadakan sama ada pada Ahad atau Isnin depan," kata Tengku Farouk Husin.

Pada Disember 2016, Ahmad Razif yang kini mantan Menteri Besar Terengganu menang tanpa bertanding jawatan presiden dalam kongres luar biasa PBSNT bagi penggal 2017 hingga 2020.

Beliau adalah 'orang kuat' di sebalik penjenamaan semula pasukan bola sepak negeri menggantikan bekas presiden terdahulu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid yang melepaskan jawatan itu bagi memberi laluan kepada Ahmad Razif yang ketika itu sebagai Menteri Besar Terengganu.

Terdahulu pada 15 Mei lalu, Timbalan Presiden 1 PBSNT, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail mengambil keputusan mengejut meletak jawatan susulan peralihan kuasa kerajaan negeri itu.

Wan Nawawi berundur selepas tidak lagi memegang jawatan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) selain mengakui tidak lagi mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan.

Peletakan jawatan Wan Nawawi yang juga 'orang kuat' PBSNT dijangka bakal dituruti Ahmad Razif walaupun keputusan sebenar bakal diketahui minggu depan.

"Jika beliau (Ahmad Razif), melepaskan jawatan itu kepada pengurusan baharu, saya juga bakal mengikut jejak beliau dengan menyerahkan jawatan setiausaha kepada kepimpinan baharu," kata Tengku Farouk Husin.

Pada 28 Mei lalu kerajaan negeri sudah bersemuka dengan pegawai PBSNT bagi  membincangkan beberapa perkara berkaitan persatuan dan perjalanan pasukan bola sepak negeri. - Berita Harian