Bantuan Dana Raya Diteruskan, Tunai Janji Air Percuma


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri mengumumkan untuk meneruskan Bantuan Dana Raya 2018 sebagai menambahkan keceriaan dan kemeriahan sambutan perayaan Aidilfitri di kalangan rakyat negeri ini terutama kepada golongan berpendapatan kecil.

Menteri Besar, Prof Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, permohonan dana raya yang diteruskan  secara atas talian seperti sebelum ini, turut terbuka kepada pemohon baru yang layak.

“Mengambil kira kita hendak menyambut Ramadan dan tradisi yang dilaksanakan di Terengganu, maka kita membuat keputusan untuk meneruskan pemberian dana raya berjumlah antara RM300 hingga RM400 mengikuti kelayakan masing-masing.

“Pengagihan akan dibuat pada bulan puasa dan dalam masa yang sama kita membuat penambahbaikan dengan membuka kepada permohonan baru,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco yang pertama di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahari Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata, selaras dengan usaha untuk memastikan rakyat menerima manfaat tanpa melalui kerenah birokrasi, kerajaan negeri turut memutuskan untuk menghapuskan keperluan  tandatangan sokongan daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk sebarang urusan  permohonan bantuan daripada kerajaan negeri.

“Bagi mengurangkan kerenah birokrasi yang menyusahkan rakyat maka proses permohonan yang melibatkan tandatangan JKKK telah ditiadakan.

“Sebarang permohonan termasuk borang-borang yang berkaitan dengan permohonan yang dibuat hanya perlu diisi oleh pemohon tanpa tandatangan JKKK dan boleh terus kepada Majlis Daerah atau agensi berkaitan,” katanya.

Rakyat yang kurang berkemampuan di negeri ini dan mendaftar dalam program e-Kasih akan mendapat bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu sebulan seperti yang dijanjikan dalam Manifesto Pas Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru-baru ini.

Menteri Besar, Prof Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan perkara itu dalam Majlis Mesyuarat Mingguan Exco yang pertama di Wisma Darul Iman, hari ini.

“Atas rasa tanggungjawab terhadap keperluan rakyat miskin dan menunaikan sebahagian daripada manifesto yang dijanjikan dalam PRU14,, kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberikan 20 meter padu air secara percuma kepada rakyat miskin negeri ini yang tersenarai dalam e-Kasih.

“Ini adalah pelaksanaan manifesto kita dan terdapat perbezaan dengan dengan apa yang telah dibuat kerajaan negeri sebelum ini,” ujarnya kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Mingguan Exco tersebut.

Menurut Ahmad Samsuri, pengguna hanya perlu membayar nilai meter padu air yang digunakan melebihi jumlah 20 meter padu yang diberikan secara percuma.

“Sebagai contoh, jika penggunaan 21 meter padu , jumlah yang perlu dibayar hanya satu meter padu sahaja, berbanding sebelum ini perlu membayar jumlah penuh (21 meter),” ujarnya.

Katanya, pemberian bekalan air secara percuma itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat selepas segala proses berkaitan termasuk dari segi pentadbiran dan sebagainya selesai.

“Kita telah buat keputusan secara dasar dan dari segi pelaksanaan akan dibuat seberapa segera.

“Pentadbiran akan teliti perkara ini kerana ianya melibatkan proses-proses pentadbiran yang perlu dibuat. Jadi, selesai proses ini termasuklah dengan agensi yang terlibat membekalkan air, maka ianya akan terus dilaksanakan,” ujarnya. - Teganuku