Datuk Wan Nawawi Lepas Jawatan Di PBSNT


KUALA TERENGGANU: Timbalan Presiden 1 Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail menamatkan spekulasi apabila meletak jawatan dalam persatuan itu selari dengan peralihan kuasa kerajaan negeri daripada Barisan Nasional (BN) kepada PAS.

Beliau yang juga orang kuat di sebalik penjenamaan semula pasukan bola sepak negeri menyerahkan surat peletakan jawatan pada Selasa lalu bagi memberi laluan kepada kepimpinan baharu untuk menerajui PBSNT.

"Walaupun jawatan ini bukan secara automatik terbatal selepas saya tidak lagi menjadi SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri), tapi atas rasa tanggungjawab demi pembangunan bola sepak negeri, saya ambil keputusan meletak jawatan bermula 15 Mei lalu dan surat peletakan itu sudah diserahkan kepada PBSNT.

"Selain itu, keputusan ini dibuat selepas mengambil kira saya tidak lagi mempunyai kuasa untuk membuat sesuatu keputusan kerana sudah tidak lagi berjawatan," kata Wan Nawawi yang juga calon BN bagi Parlimen Kuala Terengganu dalam PRU ke-14 (PRU-14) tapi tewas.

Ketika ditanya adakah tindakan itu terburu-buru ketika pasukan negeri masih memerlukan sentuhannya, Wan Nawawi berkata beliau berasakan keputusannya itu tepat dan muktamad selain pemilihannya sebelum ini bukan atas dasar pertandingan tetapi menerusi lantikan.

"Saya bukan gila kuasa untuk memegang jawatan ini kerana sedar bola sepak adalah untuk peminat. Dulu, saya pegang atas dasar ingin membantu persatuan dan juga pasukan bola sepak negeri, tapi sekarang tidak berjawatan lagi, lebih baik saya undur diri.

"Bagaimanapun saya gembira kerana prestasi semasa pasukan Terengganu FC (TFC) tidak begitu mengecewakan dan kini berada di pertengahan Liga Super selain dilihat mampu melangkah lebih jauh lagi.

"Cuma pasukan Terengganu FC II (TFC II) perlu digilap lagi bagi memastikan pasukan itu mampu bersaing dalam saingan Liga Perdana," katanya.

Sepanjang memegang jawatan itu bermula Disember 2016, Wan Nawawi berjaya mengembalikan semula pasukan bola sepak Terengganu beraksi dalam pentas Liga Super pada tahun ini selain membawa pasukan itu muncul naib juara Liga Perdana pada 2017. - Berita Harian