Lee Tuck Ancaman Utama - Maciel


KUALA LUMPUR: Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel sangat mengagumi perwatakan Lee Tuck sekali gus mengakui pemain import Terengganu itu bakal menjadi ancaman utama apabila kedua-dua pasukan membuat perhitungan di Stadium PBKL, Cheras, Sabtu ini.

Maciel berkata, pemain itu bukan sahaja rajin dan sentiasa bekerja keras malah mempunyai visi yang tinggi dalam permainan serta mampu menjaringkan gol.

"Dia pembelian yang berbaloi untuk Terengganu. Saya sentiasa memandang tinggi karisma yang dimilikinya, seorang pemain yang saya anggap tidak mempunyai cacat celanya.

"Lee Tuck seorang yang sangat rajin, anda boleh melihat dia berada di setiap inci padang. Dia juga bijak menyusun gerakan, sangat bahaya dalam situasi bola mati serta mampu menjaringkan gol dari jarak jauh," sanjung Maciel.

Namun, Maciel melihat kehadiran semula pemain importnya, Paulo Josue adalah jawapan tepat untuk menyaingi Lee Tuck bagi menguasai pertempuran di bahagian tengah, posisi yang dilihat bakal mempengaruhi keputusan perlawanan kelak.

Sebagaimana pentingnya Lee Tuck kepada Terengganu, begitulah juga harapan diletakkan Maciel ke atas Josue yang akan kembali beraksi selepas menjalani hukuman penggantungan satu perlawanan ketika kalah 0-4 kepada Pahang, minggu lalu.

"Anda dapat melihat betapa longgarnya penguasaan kami di bahagian tengah ketika bertemu Pahang tanpa Paulo dan Zhafri (Yahya). Kedua-dua pemain ini adalah tonggak pasukan, jadi ketiadaan mereka adalah antara sebab kami kalah teruk.

"Saya yakin kehadiran semula mereka bakal mengubah keadaan terutama dalam mengimbangi ancaman Lee Tuck. Begitu pun, saya tidak mahu tumpuan berlebihan diberikan kepada Lee Tuck sehingga mengabaikan pemain lain kerana ia boleh mengundang padah.

"Pemain tempatan mereka berjersi nombor 16  (J Partiban) juga boleh menjadi ancaman jika diambil mudah. Begitu juga dua penyerang importnya (Kipre Tchetche dan Bruno Suzuki).

"Saya juga berharap bermain di Cheras sekali lagi memberi kelebihan kepada kami apatah lagi tiga mata sangat penting untuk memperbaiki kedudukan. Setakat ini rekod kami di tempat sendiri sangat bagus," kata jurulatih kelahiran Brazil itu. - Berita Harian