Pesanan Irfan Bakti Buat Pemain Bagi Aksi Bulan Ramadhan


KUALA TERENGGANU: "Saya ingatkan pemain supaya jangan jadikan bulan puasa sebagai halangan untuk tidak pamerkan aksi terbaik, sebaliknya pemain perlu memperagakan aksi bertenaga bertemu Perak pada 22 Mei ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah," kata ketua jurulatih Terengganu FC, (TFC), Irfan Bakti Abu Salim.

Selain itu beliau juga turut menuntut pemainnya supaya menjaga pemakanan pada Ramadan ini bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini yang seterusnya boleh merugikan diri dan pasukan.

"Saya yakin pemain TFC tidak mempunyai masalah beraksi pada bulan puasa kerana sebahagian besar daripada mereka pernah beraksi pada bulan itu sebelum ini.

"Namun apa yang penting, mereka perlu sentiasa cergas dan bertenaga serta berupaya menjaga nafsu makan seperti biasa," kata ketua jurulatih berpengalaman itu.

Mengulas pertemuan dengan Perak dalam aksi pusingan kedua Selasa ini, Irfan Bakti mengakui beliau gembira apabila pemainnya kini berada pada tahap terbaik untuk menebus kekecewaan tewas 2-3 dalam aksi pusingan pertama kepada pasukan itu.

"Kejayaan bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut dengan menumpaskan Pahang 1-0 di laman mereka dalam aksi terakhir bakal memberi suntikan semangat dan motivasi terbaik kepada pemain.

"Selain itu prestasi pemain yang kian meningkat termasuk pemain import Bruno Suzuki pasti melegakan kami bagi memastikan tiga mata menjadi milik TFC apatah lagi beraksi di laman sendiri.

"Bagaimanapun, saya ingatkan pemain perlu belajar daripada kesilapan lalu iaitu ketika bertandang di Perak apabila tiga jaringan diperolehi pasukan lawan boleh saya sifatkan sebagai gol mudah dan harap perkara itu tidak berulang," ujar Irfan Bakti. - Berita Harian