Saya Minta Maaf - Irfan Bakti


“Saya minta maaf kepada penyokong Terengganu yang datang memberikan sokongan.” Demikian reaksi jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, selepas skuad bimbingannya tersungkur kepada Pahang di laman sendiri malam tadi, sekali gus meneruskan rentak hambar dalam saingan Liga Super.

Irfan mengakui benteng pertahanan TFC begitu longgar selain kegagalan mengikuti arahan mengakibatkan mereka dibolosi tiga gol.

“Pemain lawan dengan mudah memenangi situasi satu lawan satu. Tiga gol dijaringkan Pahang berpunca daripada gerakan individu dan itu tidak seharusnya berlaku.

“Pemain saya lebih banyak menjadi pemerhati serta tidak mengawal pergerakan lawan sehingga membolehkan mereka bergerak bebas,” ujarnya.

Kemasukan Ashari Samsudin serta Mohd Faiz Nasir selepas rehat menyuntik sedikit jentera tengah Sang Penyu yang gagal berfungsi selain ketumpulan serangan diketuai Akanni Sunday Wasiu.

Prestasi merudum TFC lebih dibayangi ketiadaan penggempur, Kipre Tchetche, akibat kecederaan manakala persembahan hambar Akanni mengundang rasa tidak senang penyokong mereka.

“Hanya pada babak kedua TFC beraksi dengan agresif, 45 minit pertama kami bermain begitu buruk.

“Saya harap Tchetche segera pulih kerana pasukan ini merindui kelibatnya,” kata Irfan lagi. - Arena