Sharbinee Allawee Sah Sarung Jersi Kuala Lumpur


KUALA LUMPUR: Sharbinee Allawee Ramli mahu memanfaatkan 'talian hayat' diberikan Kuala Lumpur sebaik mungkin demi menyelamatkan kariernya di samping membalas kepercayaan skuad warga kota itu.

Bekas penjaga gol utama Terengganu itu yang sah mengikat kontrak bersama City Boys sehingga hujung musim ini berkata dia perlu bekerja keras untuk membuktikan kemampuannya.

Namun, Sharbinee yakin dengan pengalaman dimiliki, dia mampu memastikan pelaburan Kuala Lumpur ke atasnya sesuatu yang berbaloi.

"Pengalaman adalah aset saya dan yakin ia sangat berguna walaupun sudah setahun tidak beraksi. Cuma, mungkin saya memerlukan beberapa perlawanan untuk mendapatkan semula sentuhan.

"Saya anggap ia bukan masalah besar kerana bagi setiap pemain, sebaik sahaja melangkah ke padang, dengan sendiri aura perlawanan akan membantu walaupun sudah lama tidak bermain.

"Saya akan gunakan tempoh enam bulan ini sebaik mungkin kerana ia bakal menentukan masa depan saya," kata Sharbinee terpaksa berehat setahun kerana masalah paru-paru.

Kehadiran Sharbinee yang berpengalaman lebih satu dekad dalam liga kompetitif negara dengan mewakili Terengganu dan Selangor serta pasukan kebangsaan dilihat jawapan tepat kepada masalah dihadapi jurulatih, Fabio Maciel yang kerap dihampakan aksi tidak konsisten tiga penjaga golnya.

Kuala Lumpur adalah pasukan paling banyak dibolosi selepas melepaskan 27 gol daripada 12 perlawanan Liga Super setakat ini dengan Kamarul Effandi Abdul Rahim, Ahmad Solehin Mamat dan Khattul Annuar Jalil dilihat belum bersedia menggalas tanggungjawab sebagai penjaga gol utama.

Terbaru, skuad warga kota itu dibelasah 4-0 oleh Pahang, Jumaat lalu yang meletakkan mereka di tangga kelapan carta liga dengan 13 mata, hanya dipisahkan lima dengan pasukan tangga tercorot, Negeri Sembilan. - Berita Harian