Irfan Bakti Kecewa..


Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, berkata beliau agak kecewa dengan persembahan yang ditunjukkan pemainnya.

Katanya, anak buahnya juga hanya melakukan empat percubaan ke arah pintu gol sepanjang 90 minit permainan.

"Kalau  empat percubaan sahaja, memang susah kami nak menang. Saya juga kecewa dengan sikap segelintir pemain yang  sambil lewa dan membiarkan pemain lawan untuk melakukan hantaran silang ke dalam kawasan bahaya sehingga berjaya menjaringkan gol," katanya.

Irfan Bakti turut menjelaskan kekalahan yang dialami berkemungkinan besar disebabkan  pemain skuad Penyu keletihan selepas terpaksa menempuh perjalanan jauh dalam mengharungi perlawanan liga.

"Sebenarnya saya tidak mahu guna alasan ini tapi kalau kita lihat perlawanan sebelum ini, dari Terengganu kami ke Kuala Lumpur dan selepas itu ke Ipoh dan selepas ini pulang kembali ke Terengganu. Sudah pasti ini akan beri kesan sedikit-sebanyak kepada pemain," katanya.

Sementara itu, jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, menghamburkan pujian terhadap komitmen yang ditunjukkan pemainnya selepas membenam Terengganu 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, malam tadi.

Beliau berkata setiap pemain mengikut arahan dan taktikal yang direncanakan sehingga berjaya memadam kelebihan satu gol yang dimiliki Terengganu dalam separuh masa pertama.

"Saya amat berpuas hati dengan keputusan yang dicipta selepas dua perlawanan terdahulu menentang Pahang dan Perak, kami gagal mengutip sebarang mata.

"Saya juga gembira dengan persembahan yang ditunjukkan penjaga gol, Shafiq Afifi Suhaimi, dan pemain pertahanan kanan, Ahmad Syami Shukri, yang pertama kali diturunkan, namun berjaya membantu pasukan," katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

Dalam perlawanan tersebut, Terengganu mendahului pada minit ke-32 hasil jaringan pemain import, Kipre Tchetche, namun kelebihan itu berjaya dipadamkan PKNP hasil dua jaringan ayam tambatannya, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit ke-52 dan 61.

Beliau berharap rentak kemenangan tersebut boleh dikekalkan dalam pertembungan pusingan kedua menentang Terengganu di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, 9 Jun ini. - Arena