Kesilapan Ala “Budak Sekolah” Hukum Terengganu FC

Posted on Sunday, June 03, 2018 | 6/03/2018



KUALA LUMPUR: Dua kesilapan mudah ala 'budak sekolah' yang dilakukan penjaga gol Terengganu, Wan Muhammad Azraie Wan Teh antara penyebab utama kegagalan 0-3 skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu di tangan Kuala Lumpur di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Biarpun penguasaan bola jelas dikuasai pelawat, kesilapan Wan Azraie menyentap semangat rakan sepasukannya yang dilihat buntu untuk memecahkan benteng pertahanan tuan rumah.

"45 minit pertama, kami menguasai segala-galanya dengan peluang yang banyak di depan gol Kuala Lumpur. Tapi penghujung babak pertama, kami lakukan kesilapan budak sekolah apabila penjaga gol melepaskan gol pertama," kata Irfan pada sidang media selepas tamat aksi.

Gol kedua pula disebabkan masalah komunikasi antara pertahanan dan penjaga gol dan ia 'membunuh' kami. Sekali lagi kesilapan 'bodoh' daripada penjaga gol kami yang tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Dalam aksi itu, jentera serangan pelawat yang diketuai Tchetche Kipre dan Lee Andrew Tuck kerap mengkucar-kacirkan kubu tuan rumah dengan gerakan merbahaya namun dikecewakan aksi cemerlang bekas penjaga gol mereka, Mohd Sharbinee Allawee Ramli yang kini bersama skuad Warga Kota.

Di sebalik penguasaan pelawat, mereka dikejutkan jaringan Kuala Lumpur hasil kesilapan penjaga gol, Wan Azraie pada minit ke-45 sebelum Guilherme De Paula dan Paulo Josue menambah dua lagi gol masing-masing pada minit ke-47 dan 81.

"Selepas mereka dapat dua gol, mereka bermain dengan baik manakala kami pula hilang pedoman. Pemain mula tak tahu nak jaga siapa, ikut siapa dan main macam mana.

"Saya sudah bagi tahu pemain jangan ambil mudah lagi dan kami belajar sesuatu malam ini (semalam).  Selagi tak dapat gol, selagi itulah kami belum menang dan perlu kekal disiplin sepanjang perlawanan," katanya.

 - Berita Harian
Blog, Updated at: 6/03/2018

0 comments:

Loading...