Nota Penting Irfan Bakti Bagi Pertemuan Dengan Kuala Lumpur


KUALA TERENGGANU: Dua nota penting daripada ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim harus diambil serius anak buahnya sebelum membuat perhitungan dengan Kuala Lumpur di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Sabtu ini, dalam misi untuk meneruskan rentak kepada empat kemenangan berturut-turut.

Pertama, Irfan Bakti mengingatkan anak buahnya supaya memperagakan corak permainan sebenar sehingga wisel penamat dan kedua jurulatih 67 tahun itu mahu pertahanannya merantai penyerang sensasi skuad The City Boys, Guilherme De Paula dan menyekat penguasaan pemain tengah, Paulo Josue daripada mengatur gerakan.

"Dua pemain kelahiran Brazil itu harus dikawal rapi daripada bergerak bebas terutama berdekatan dengan kawasan gol kerana mereka mampu melakukan sesuatu jika mempunyai peluang terbaik untuk menghasilkan jaringan," kata Irfan.

"Bagaimanapun saya berkeyakinan barisan pertahanan yang diketuai Igor Zonjic mampu memikul tugas itu dengan berkesan sebagaimana aksi sebelum ini."

Dalam perkembangan sama, Irfan menarik nafas lega apabila perancang utama pasukan, Lee Tuck kembali menyarung jersi skuad itu selepas menjadi penonton ketika bertemu dengan Melaka United (MU), susulan menerima tiga kad kuning.

Selain itu, kehadiran semula pemain tengah menyerang, Abdul Malik Mat Ariff yang baru pulih daripada kecederaan dan peningkatan corak permainan yang dipamerkan pemain import, Bruno Suzuki melegakan kem TFC.

"Khidmat Tuck  ditagih untuk mengemudi jentera tengah pasukan sambil mengharapkan semua pemain mampu memperagakan aksi terbaik dalam perlawanan itu nanti.

"Sasaran kita adalah untuk mengutip tiga mata bagi meneruskan rentak kemenangan dan berharap pemain mampu merealisasikan hasrat ini untuk mengelak daripada tercicir mata," katanya. - Berita Harian