(VIDEO) Felda United Buat Terengganu FC II Terus Dikedudukan Dasar Liga


MARAN: FELDA United mengukuhkan kedudukan di persada liga dan membuatkan TFC2 terus kekal di dasar liga apabila menewaskan Terengganu FC II (TFCII), 3-2 pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, di sini, malam tadi.



Penyerang import dari Brazil, Thiago Augusto Fernandes muncul The Fighters apabila menjaringkan dua gol.

Sebaik wisel permulaan ditiup pengadil Mohammad Zamzaidi Katimin, kedua-dua pasukan melancarkan serangan namun pasukan pelawat dilihat banyak mencemaskan kubu tuan rumah menerusi beberapa gerakan cantik oleh Bruno Junichi Suzuki. 

Hasilnya, skuad kendalian Mustaffa Kamal Abdul Wahab mengejutkan tuan rumah apabila Suzuki berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan cantik dari luar kotak penalti yang menewaskan Farizal Harun pada minit ke-38. 

Tidak berpuas hati dengan ketumpulan jentera serangan, B Sathianathan memasukkan Wan Zack Haikal Wan Nor bagi menggantikan Muhammad Khairu Azrin Khazali pada minit ke 40. 

Kemasukan Wan Zack Haikal itu memberi kesan apabila jentera serangan agresif menyerang kubu pelawat. 

FELDA United memperoleh gol penyamaan di awal separuh masa kedua menerusi Christie Jayaseelan yang menyempurnakan hantaran Wan Zack.

Jaringan itu menambah semangat FELDA United dan mereka memperoleh gol kedua menerusi Thiago Augusto yang membuat sepakan voli cantik selepas menerima hantaran Christie dan menewaskan penjaga gol TFCII, Mohd Suhaimi Husin pada minit ke 64.

Pada minit ke 71, Thiago Augusto menambah derita pelawat dengan menjaringkan gol kedua peribadinya selepas mudah menolak masuk hantaran Gilberto Fortunato.

TFCII cuba memberi tentangan dan berjaya memperoleh gol kedua menerusi penyerang importnya, Akanni Sunday pada minit ke-84.

Pasukan pelawat cuba mencari gol penyamaan namun gagal dan perlawanan berkesudahan 3-2. 

Kemenangan itu menyaksikan FELDA United memperoleh 36 mata selepas 15 perlawanan manakala TFCII kekal di tangga tercorot dengan 11 mata.  Berita Harian