Wan Azraie Mohon Maaf

Posted on Monday, June 04, 2018 | 6/04/2018



KUALA TERENGGANU: "Tak tahulah nak cakap macam mana... tiba-tiba pula hancur permainan saya semalam dan ia betul-betul kesilapan saya.

"Saya tak jangka bola boleh terlepas ke belakang... saya betul-betul kecewa," kata penjaga gawang Terengganu FC (TFC), Wan Muhammad Azraie Wan Teh.

Kesilapan mudah yang dilakukan Azraie dianggap sebagai memberikan gol 'percuma' kepada skuad Kuala Lumpur dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, kelmarin.

Dalam perlawanan itu, penjaga gol berusia 32 tahun berkenaan gagal menangkap kemas sepakan percuma Paulo Josue sebelum bola bergolek di antara dua kakinya untuk gol pertama Kuala Lumpur.

Jaringan kedua Kuala Lumpur pula adalah hasil kesilapan pemain pertahanan yang gagal membaca gerakan penyerang lawan manakala jaringan ketiga diperoleh selepas Wan Azraie gagal menolak keluar bola sepakan lambung Josue.

Mengulas lanjut, bekas penjaga gol Pahang musim lalu itu mengaku sukar untuk menelan kepahitan ketika pasukannya berhajat meneruskan rentak kemenangan.

"Saya minta maaf kepada rakan sepasukan dan pihak pengurusan serta penyokong atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.

"Saya bertekad sekiranya masih diberi peluang untuk mengawal pintu gol ketika bertemu PKNP di Stadium Perak pada 6 Jun ini, saya berazam bangkit memperbaiki kesilapan," kata Wan Azraie.

Dalam tiga aksi terdahulu, penjaga gol berasal dari Kuala Ibai, Terengganu itu beraksi cemerlang dengan membantu pasukannya mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut bermula pertemuan dengan Pahang, Perak dan Melaka United. - Berita Harian
Blog, Updated at: 6/04/2018

0 comments: