Jangan Bubar Terengganu FC II


KUALA TERENGGANU: Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman meminta kepimpinan baharu persatuan itu tidak bertindak membubarkan pasukan Terengganu FC II (TFC II) musim depan.

Sebaliknya mantan Menteri Besar Terengganu itu menuntut  badan induk bolasepak negeri yang diketuai Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dapat memperkasakan lagi pasukan berkenaan.

"Saya berpandangan skuad TFC II itu perlu dikekalkan bersaing dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan seperti mana sekarang.

"Ini adalah untuk kesinambungan pembangunan bola sepak negeri dalam jangka masa yang panjang kerana pasukan berkenaan adalah sebagai skuad pelapis bagi pasukan utama iaitu Terengganu FC (TFC).

"Bagaimanapun pasukan berkenaan (TFC II) ini haruslah diperkasakan lagi dan dibarisi pemain muda berbakat besar yang mampu menjadi pelapis kepada skuad utama dan juga kebangsaan," katanya.

Semalam, Ahmad Razif yang memegang jawatan presiden PBSNT selama tiga tahun selepas menang tanpa bertanding dalam Kongres Luar Biasa (EGM) pada 2016, melepaskan jawatan itu secara baik dalam kongres luar biasa (EGM) persatuan itu di sini.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif yang juga bekas 'orang kuat' di sebalik penjenamaan semula pasukan bola sepak negeri pada awal musim ini turut mengharapkan PBSNT mengambil berat pembangunan pasukan Terengganu FC III (TFC III) dan IV yang kini kian meningkat prestasinya.

"Hasil penjenamaan semula pasukan kini skuad TFC III dan IV kian meningkat dan menguasai carta, saya mengharapkan skuad pelapis ini perlu diberi penekanan bagi memastikan kita mempunyai pemain pelapis yang berkualiti," kata Ahmad Razif.

Sebelum ini kedengaran desas-desus menyatakan skuad TFC II bawah kendalian Mustaffa Kamal Wahab yang kini menghuni di tangga terbawah Liga Perdana akan dibubarkan  selepas kerajaan negeri bertukar parti daripada Barisan Nasional (BN) kepada PAS. - Berita Harian