Jangan Cepat Lemah Semangat, Bangkit Jika Ketinggalan


KUALA TERENGGANU: "Usah cepat lemah semangat, sebaliknya pemain harus bangkit sehingga ke penghujung perlawanan untuk mencatat kemenangan biarpun ketika ketinggalan.

"Selain itu, pemain juga perlu memanfaatkan setiap peluang terhidang dengan sebaik mungkin termasuk situasi bola mati untuk mendapatkan gol,"

Itulah arahan ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim menjelang pertemuan dengan Kuala Lumpur dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam esok.

Jurulatih berpengalaman itu turut mengingatkan anak buahnya supaya belajar daripada kesilapan lalu bagi memastikan impian melakar kemenangan di laman sendiri tercapai.

"Saya percaya kekalahan 0-3 kepada Kuala Lumpur Mei lalu masih lagi berbekas.

"Oleh itu pemain harus jadikan episod malang itu sebagai pengajaran berguna kepada mereka untuk kembali bangkit memburu tiga mata bagi mengukuhkan lagi kedudukan dalam saingan liga.

"Pemain juga diingatkan sekali lagi usah ulangi lagi kesilapan lalu yang saya sifatkan begitu mudah sebaliknya perlu bertekad memperagakan aksi terbaik untuk menumpaskan lawan," katanya.

Mengulas lanjut, Irfan Bakti berkata, beliau tidak dapat menurunkan pemain pertahanan kentalnya, Muhammad Kamal Azizi Mohd Zabri kerana pemain berusia 24 tahun itu digantung satu perlawanan selepas menerima tiga kad kuning.

"Ketiadaan pemain pertahanan kanan itu yang beraksi dengan baik sehingga kini tidak begitu menggusarkan kem pasukan kerana kami sudah menemui pengganti.

"Misi kita adalah untuk catat sekurang-kurangnya empat kemenangan daripada baki lima perlawanan lagi.

"Justeru, pemain yang bakal diturunkan nanti perlu tampilkan aksi konsisten dan mampu menggalas tugas yang diberikan dengan berkesan," katanya yang mengharapkan penjaring terbanyak pasukan, Kipre Tchetche mampu jadi watak pemusnah dalam perlawanan itu. - Berita Harian