Menteri Besar Fokus Masa Depan Bola Sepak Terengganu


KUALA TERENGGANU: "Saya akan berbincang dengan beberapa pihak terutama pemegang saham, bekas pemain dan jurulatih serta pihak berkepentingan demi masa depan sukan bola sepak negeri," kata Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), yang baharu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, perbincangan itu lebih terarah untuk menentukan hala tuju sukan itu untuk mendapat idea terbaik bagi memastikan pembangunan sukan nombor satu dunia itu terus berada di landasan terbaik di Terengganu.

"Namun saya akan meneliti beberapa perkara, yang penting sekarang ini ialah objektif kita harus tercapai. Selain itu kita mahu mencapai organisasi dan kepimpinan terbaik bagi mengembalikan kecemerlangan sukan bola sepak.

"Justeru, saya akan berbincang dengan beberapa pihak yang berkaitan dalam meningkatkan lagi mutu bola sepak Terengganu dan selepas itu, kita akan buat apa keputusan  yang terbaik, jadi perkara ini sudah tentu mengambil sedikit masa," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Korobori Pengakap Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, semalam yang dirasmikan oleh Yang DiPertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail  Sultan Mizan.

Semalam, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang juga mantan Menteri Besar Terengganu melepaskan jawatan presiden PBSNT dalam Kongres Luar Biasa (EGM) yang diadakan di sebuah hotel di sini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya menyambut baik pelantikan Ahmad Samsuri menggantikan Ahmad Razif sebagai presiden PBSNT yang baharu.

"Namun ini adalah satu strategi yang bersifat sementara sebelum PBSNT akan diserahkan kepada pihak yang layak selepas badan induk bola sepak negeri itu benar-benar mampu berdikari tanpa campur tangan daripada orang politik.

"Tapi insya-Allah, seperti yang saya sebut dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, ia akan dilaksanakan secara beransur-ansur sehingga kita yakin PBSNT ada seseorang yang boleh mengetuai dengan ketokohan sedia ada," katanya yang mengakui pihaknya sudah mempunyai calon yang sesuai untuk mengisi jawatan timbalan presiden I PBSNT. - Berita Harian